PH Johor terima keputusan sebagai isyarat daripada pengundi

PH Johor terima keputusan sebagai isyarat daripada pengundi

Pakatan Harapan Negeri Johor menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai satu isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu kenyataan bersama malam tadi berkata, mengambil kira kekalahan ini, Pakatan Harapan (PH) perlu kembali semula ke paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat.

Dalam masa sama katanya, PH Negeri Johor ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera Pakatan Harapan yang telah bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kempen pilihanraya kecil ini.

Dalam PRK yang berlangsung semalam, Barisan Nasional (BN) membuat kejutan besar apabila merampas semula kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu meraih 25,466 undi.

Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008 itu menewaskan pencabar utamanya, Karmaine Sardini dari PH yang memperoleh 10,380 undi.