Malaysia Dateline

PH Johor yakin Chong dapat tekanan

Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini memaklumkan bahawa Adun Pemanis, Chong Fat Full mendapat tekanan dari pihak tertentu yang menyebabkannya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan Gabungan Baru.

Menurut Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan, keputusan yang dibuat Chong semalam adalah bertentangan dengan ‘akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani pada 28 Februari lalu.

“Pakatan Harapan Negeri Johor yakin bahawa keputusan ini dibuat disebabkan tekanan sehingga menyebabkan beliau membuat keputusan bertentangan dengan pendirian yang beliau nyatakan sebelum ini.

“Pakatan Harapan Negeri Johor akan terus berusaha bagi memastikan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dihormati,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor itu berkata, satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas perlu diadakan bagi menyelesaikan perkara kemelut yang berlaku.

Jelasnya, sidang DUN khas ini perlu untuk menidakkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang menyatakan terdapat lima Adun (tiga dari PKR dan dua AMANAH) yang sebelum ini menyokong beliau.

“Sidang DUN Khas ini penting dan inilah masanya untuk Hasni menunjukkan bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti Adun di Johor.

“Sekiranya perkara itu tidak berlaku dan tidak sanggup dihadapi oleh Hasni bermakna selama ini beliau hanya bercakap kosong,” tegasnya.

Sebelum ini parti AMANAH telah menafikan bahawa terdapat Adunnya yang mahu menyokong kerajaan Gabungan Baru yang diketuai Hasni.

Dalam pada itu, Adun Kota Iskandar, Ir Dzulkefly Ahmad pula berkata, Adun dari PH Johor sudah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang keadaan termasuk sidang Dun khas.

“Pada hari Ahad (8 Mac) ini, semua Adun PH akan menyerahkan memorandum kepada Speaker Dun Johor (Suhaizan Kaiat).

“Memorandum itu akan membawa maksud untuk mengadakan sidang Dun khas dalam masa terdekat ini untuk membuktikan bahawa MB Johor mempunyai sokongan majoriti,” ujarnya lagi.