Malaysia Dateline

PH junjung kasih Sultan Johor perkenan buka Sidang DUN

Pakatan Harapan (PH) Johor menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Sultan Johor untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada 12 Ogos ini yang akan diadakan di Kota Iskandar.

Ketua Pembangkang DUN Johor Aminolhudal Hassan berkata, PH Johor siap sedia menyumbang tenaga dan buah fikiran demi kepentingan rakyat terutamanya mengenai pelan tindakan bagi membantu mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 serta menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri ini.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi PKR Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Liew Chin Tong, Aminolhuda berkata pihaknya, konsisten dengan pandangan bahawa Dewan Negeri dan Parlimen perlu bersidang dengan segera untuk menjalankan fungsi-fungsi serta peranannya lebih-lebih lagi pada saat rakyat berhadapan kesukaran serta kekecewaan dalam berhadapan masalah penularan Covid-19 yang sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan.

“Pada masa yang sama, prestasi vaksinasi untuk rakyat di negeri Johor setakat ini juga amat membimbangkan iaitu pada kadar 14.6% sahaja.

“Sekali lagi, PH Johor menjunjung kasih dan merafak sembah titah serta keperihatinan yang dizahirkan DYMM Tuanku Sultan Johor,” katanya.

Hari ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan agar persidangan Dewan Negeri Johor mula bersidang pada 12 Ogos.

Bagaimanapun baginda mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan Negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri Johor dengan sebaiknya.

Baginda bertitah demilkian sebaik sahaja menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Penasihat Undang-Undang Johor, Tuan Amir Nasruddin pada pagi Rabu.