PH kalah 3 PRK tidak harus dipandang ringan, kata NGO

PH kalah 3 PRK tidak harus dipandang ringan, kata NGO

Walaupun Pakatan Harapan (PH) menerajui kepimpinan kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat, kekalahan dalam tiga pilihan raya keci (PRK) yang lalu tidak harus dipandang ringan kerana ia adalah suara rakyat yang  dizahirkan melalui peti undi., kata Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Pulau Pinang, Abdullah Mohd Nor.

Beliau berkata,  adalah perlu bagi PH untuk melihat kembali segala kepincangan, kegagalan dan kerunsingan yang membelenggu pemikiran rakyat sehingga mereka menolak PH dalam tiga PRK di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

Abdullah Mohd Nor

“Sebelum ini terbukti pengundi memberi kemenangan kepada BN semasa PRK Parlimen Cameron Highland.

“Kemudian mereka sekali lagi melakar sejarah yang sama apabila menolak PH dalam PRK Semenyih.

“Kini dengan kemenangan BN bagi PRK Rantau, memperlihatkan adanya kepincangan yang harus diberi pertimbangan yang serius, ” ujarnya ketika ditemui pada Ahad.

Abdullah yang juga merupakan aktivis masyarakat turut berkata, menjelang setahun kemenangan PH dalam PRU 9 Mei yang lalu, maka setiap kelompongan yang ada mesti diisi dengan segera.

Malah tegasnya lagi, rakyat tidak akan lupa dengan setiap janji yang telah dikumandangkan pada PRU ke 14 yang lalu.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat dalam PRU 9 Mei yang lalu, adalah suatu yang amat bernilai dan paling berharga.

“Justeru itu sebagai kerajaan yang sedang memimpin, maka setiap janji yang telah dibuat sebelum ini mesti direalisasikan kerana rakyat tidak mudah lupa setiap ucapan dan laungan yang telah dizahirkan sebelum mendapat kemenangan.

“Sehubungan itu, adalah amat perlu menilai dan meneliti kembali janji-janji yang dikeluarkan dan dikotakan semaksima mungkin, agar rakyat tidak serik dan terus menolak PH, ” tambahnya lagi.

Kata Abdullah lagi isu melibatkan kepentingan Melayu, agama Islam, kedudukan Raja-Raja dan sebagainya tidak harus dibiarkan berleluasa diperdebatkan dan diperlekehkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Semua perkara ini tegasnya, amat sensitif dan memberi kesan kepada sokongann yang mampu di raih samada dalam PRK maupun PRU yang akan datang.