Malaysia Dateline

PH kalah bukan disebabkan BN tapi pengkhianatan Mahiaddin

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan disebabkan oleh Barisan Nasional (BN) yang hanya kekal dengan jumlah undi mereka, tetapi larinya undi akibat pengkhianatan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan kumpulannya, demikian menurut AMANAH.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, jika dilihat kepada undi popular yang diterima oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihanraya Negeri Melaka ini adalah sebanyak 77,731.

Katanya, ia adalah satu jumlah yang telah dicampur dengan undi Pas pada tahun 2018 iaitu sebanyak 44,570 bermakna Bersatu memperolehi 33,161 undi dalam PRN kali ini.

“Jika dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi,” kata beliau dalam kenyataan.

Dalam masa yang sama, katanya, keputusan ini jelas menunjukkan PH hilang sokongan majoriti akibat pengkhinatan Mahiaddin Yasin dan kumpulannya sejak Sheraton Move.

“Mereka mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2018 di atas nama PH tetapi beralih arah selepas itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, PH menghormati keputusan yang memberi kemenangan kepada BN dan ia adalah kehendak pengundi yang bebas untuk membuat pilihan dalam keadaan pilihan raya yang berlaku dalam suasana pandemik Covid-19 dan halangan kempen yang sangat ketat.

Di peringkat Parti Amanah Negara dan PH, katanya, satu kajian akan dilakukan segera untuk melihat sebab-sebab kekalahan tersebut bagi dibaiki di masa hadapan.

“Apapun, keputusan telah dibuat oleh rakyat, satu muhasabah perlu dilakukan untuk kebaikan di masa hadapan,” tambahnya lagi.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN sekali gus berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan berjaya memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional pula menang dua kerusi.