Malaysia Dateline

PH Kelantan cadang badan khas urus peruntukan pusat di peringkat negeri

Pakatan Harapan (PH) Kelantan bersetuju menubuhkan satu majlis yang akan mengendalikan peruntukan-peruntukan Persekutuan di negeri itu.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa berkata cadangan yang sudah diputuskan itu akan segera disampaikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohmad.

“Badan yang kita namakan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai 10 orang ahli.

“Dua orang dari setiap parti komponen akan diwakili dalam majlis ini bersama seorang wakil wanita dan seorang wakil pemuda,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat PH Negeri di pejabat Bersatu Kota Bharu.

Bagi melicinkan program setiap kementerian beliau berkata, PH Negeri akan melantik jawatan kuasa-jawatan kuasa khas sebagai peyelaras.

“Setiap kementerian yang relevan di peringkat negeri, kita akan lantik seorang pengerusi sebagai penghubung antara menteri dan rakyat,” katanya.

Mengenai pentadbiran peringkat kampung, Husam berkata pihaknya akan segera berunding berkenaan mekanisme terbaik yang akan dilaksanakan.

“Pihak kementerian baru-baru ini telah memaklumkan kaedah yang diguna pakai di negeri-negeri ditadbir PH.

“Bagi negeri-negeri diperintah pembangkang, perkara ini masih belum muktamad dan kita akan cuba menyelesaikan perkara ini dengan seberapa segera,” katanya.

Menurutnya, pihak PH negeri amat sedar wujudnya pelbagai kesulitan akibat kerangka pentadbiran yang ditinggalkan BN belum diganti.

“Pihak kita sedang meneliti semua maklum balas dan cadangan supaya pembentukan pentadbiran kampung yang baru nanti benar-benar menguntungkan semua pihak,” katanya.