Malaysia Dateline

PH kempen kekalkan Speaker Dewan Rakyat

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini membantah sebarang usaha untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming.

PH dalam satu kenyataannya menegaskan, tidak wujud sebarang keperluan sama sekali untuk menukar pemegang dua jawatan itu lebih-lebih lagi mereka diyakini telah berkhidmat dengan adil dan saksama.

“Majlis Setiausaha PH dengan ini menyatakan sokongan penuh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan kepada YB Tan Sri Yang Dipertua dan YB Timbalan Yang Dipertua,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan DAP, Loke Siew Fook.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan mengemukakan usul melucutkan jawatan Speaker dan timbalannya pada sidang Parlimen, 13 Julai nanti.

Mohamad Ariff juga mengesahkan langkah Presiden Bersatu itu yang akan membawa usul untuk menggantikan beliau.

Nga pula dilaporkan berkata, usul yang dikemukakan oleh Muhyiddin sudah dimasukkan dalam ke agenda Dewan Rakyat dan semua usul yang mematuhi peraturan Parlimen akan ditangani secara adil.

Sementara itu, PH berkata, Mohamad Ariff yang telah bersara dari politik kepartian sejurus memegang jawatan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), telah memainkan peranan yang amat mustahak dalam merakyatkan Parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.

Katanya, Mohamad Ariff selaku Speaker berjaya membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu, selain mewujudkan Kumpulan Rentas Parti yang merapatkan hubungan di antara ahli-ahli Parlimen dan masyarakat sivil.

Ia termasuklah pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang Parlimen yang membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula pada pasca PRU-14 telah membuahkan hasil dan wajib diteruskan.