PH Kepala Batas akan pastikan Umno-BN ditumbangkan

Dr Zaidi menyampaikan risalah penerangan kepada orang ramai di Pasar Awam, Kepala Batas.

AMANAH akan bergerak secara berterusan bersama dalam satu pasukan dengan komponen Pakatan Harapan (PH) seperti yang sedang dilakukan bagi memastikan aspirasi utama bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) menjadi realiti.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Sekretariat PH Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar emas dan sumbangan asnaf bagi kawasan Dun Bertam di Permatang Sintok, kelmarin.

Menurut beliau lagi, gerak kerja dilakukan bersama termasuklah memberi penerangan sambil mengedarkan risalah kepada orang ramai.

“Kita memberi perhatian terhadap tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai tidak kira siang ataupun malam.

“Aktiviti dipelbagaikan untuk semua golongan masyarakat seperti masyarakat Cina, India dan juga Melayu serta lain-lain komuniti.

“Manakala golongan yang diberi tumpuan termasuklah generasi muda serta golongan dewasa dan veteran,” jelasnya lagi.

Dr Zaidi Zakaria

Sementara itu katanya, sumbangan bagi masyarakat yang memerlukan tetap menjadi keutamaan tanpa membezakan pandangan dan ideologi politik mana-mana pihak.

“PH Kepala Batas turun padang mendekati semua golongan masyarakat dengan menyumbangkan barangan seperti beras, gula dan keperluan yang lain.

“Di samping itu sumbangan yang disediakan oleh kerajaan melalui program peduli rakyat diteruskan sehingga ke ceruk dan kampung.

“Kita menerjah semua lokasi termasuklah kawasan yang sukar dan pedalaman di kampung-kampung yang berselerak di dalam Parlimen Kepala Batas,” tegasnya.

Malah kata Dr Zaidi lagi, dengan gerak kerja yang begitu padat turun padang dan menyantuni masyarakat yang daif, miskin dan susah, memperlihatkan bahawa masih ada lagi golongan yang perlu diberi perhatian.

“PH Kepala Batas telah pun mengenal pasti masih ada golongan yang disisihkan dalam kawasan Parlimen Kepala Batas.

“Namun begitu kita meningkatkan lagi usaha untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh beberapa keluarga yang telah dikenal pasti.

Dr Zaidi menyampaikan sumbangan kepada pelbagai golongan masyarakat di Kepala Batas kelmarin.

“Melalui kerjasama yang dilaksanakan secara konsisten dan aktif, PH mampu mendapat keyakinan pengundi untuk diberi sokongan menjelang pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu tambahnya, tidak mustahil bagi PH untuk memberi kejutan yang tidak pernah dijangka bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang pernah menjadi kubu kuat Umno-BN semasa zaman Tun Abdullah sebelum ini.

Beiau juga berkata, berdasarkan kepada reaksi, gerak kerja turun padang dan ‘feed back’ yang diterima, PH mempunyai peluang yang amat besar bagi menerajui kepimpinan Parlimen Kepala Batas sekali gus menyekat kemaraan Umno-BN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Oleh kerana itu ujarnya, ramai pendokong Pas dan juga Umno-BN telah dikenal pasti akan memberi dokongan yang berganda kepada PH menjelang PRU14 yang akan datang tidak lama lagi.

Umno-BN bakal kecundang setelah PH memberi kejutan yang tidak pernah dijangka oleh mereka pada PRU14 akan datang.

CATEGORIES