PH, kerajaan meterai MoU

Oleh ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan hari ini melakar sejarah apabila buat pertama kalinya memeterai memorandum persefahaman (MoU) Tranformasi dan Kestabilan Politik di Bangunan Parlimen.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan susulan pemeteraian MoU itu.

Menerusi kenyataan bersama wakil kerajaan dan PH malam tadi, kedua-dua pihak bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU itu kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

Usaha memuktamadkan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH itu dicapai selepas beberapa pusingan rundingan diadakan.