Seramai 13 pemimpin sayap dan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pahang mencadangkan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menerusi kenyataan bersama mereka hari ini, semua parti dalam PH dipercayai bersikap terbuka dan tidak prejudis terhadap cadangan tersebut kerana mewakili suara akar umbi.
“Cadangan ini sebenarnya untuk merealisasikan kemenangan PH seterusnya membawa agenda reformasi yang kita impikan bersama,” katanya.
Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Mohd Mustaqim Abd Jalil; Ketua Wanita PKR Pahang, Barirah Mohd Mokhtar; Ketua PKR Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung; Ketua PKR Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad; Ketua PKR Cabang Pekan, Mohd Kamal Yusof dan Ketua PKR Cabang Rompin, Jamal Masri.
Turut sama, Ketua PKR Cabang Maran, Bostamin Bakar; Ketua PKR Cabang Bera, Bob Manolan Mohamad; Ketua PKR Cabang Kuala Krau, Mohamad Hafez Harun; Ketua PKR Cabang Bentong, M Shanmuhanathan, Ketua PKR Cabang Cameron Highlands, Tan Wei Wun; Ketua PKR Cabang Raub, G Sivanandar serta Ketua PKR Cabang Temerloh, Zulfikar Ali Ariffin.
Menurut kenyataan itu lagi, cadangan menggunakan logo PKR pada PRU-15 sebenarnya untuk merealisasikan kemenangan PH seterusnya membawa agenda reformasi yang diimpikan bersama.
Dalam masa sama, kenyataan tersebut juga memaklumkan PH kini sedang memperkemaskan jentera dan persiapan dari semua aspek bagi menghadapi PRU-15.
“Pada PRU-14 yang lalu, logo Keadilan dipersetujui bersama untuk digunakan mewakili PH sepanjang kempen dan parti gabungan itu mencipta sejarah dengan memenangi PRU14 dan berjaya membentuk kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, walaupun PH mempunyai logo sendiri, namun ia masih belum dikenali ramai terutama di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Jadi, memandangkan PRU-15 begitu hampir, PH begitu kesuntukan masa untuk memperkenalkan logo PH dan sudah tentu akan mendatangkan risiko sekiranya logo ini diguna pakai sewaktu PRU15 nanti.
“Jika PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-15, kita mempunyai banyak masa dan peluang untuk memperkenalkan logo PH pada mana-mana PRK,” tambah mereka lagi.