Malaysia Dateline

PH khuatir undang-undang kekang berita palsu dimanipulasi BN

Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan khuatir mengenai undang-undang yang bakal diperkenalkan untuk mengekang berita palsu menjadi satu lagi tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat pengaruh Pakatan Harapan dalam media sosial

Tarmizi Mohd Jam
Tarmizi Mohd Jam

Naib Pengerusi PH Wilayah Persekutuan Tarmizi Mohd Jam berkata, banyak berita palsu yang tersebar dicipta oleh oleh tentera cyber yang diupah oleh BN namun tiada tindakan diambil oleh berwajib seperti polis, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Tindakan tergesa-gesa yang dibuat oleh BN ini boleh dianggap sebagai langkah “berjaga-jaga” untuk menyaingi massa setelah mereka tidak mampu berlumba dengan Pakatan Harapan dalam mempengaruhi rakyat menyokong mereka, lebih-lebih menjelang PRU14 ini.

“Penularan berita palsu perlu diambil tindakan supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita tidak sahih serta memastikan keselamatan negara terus dipelihara tanpa mengira bulu, adil, tidak bias dan tidak hanya menjadi undang-undang labah-labah.

“Sekiranya tujuan undang-undang ini diperkenalkan untuk menapis segala bentuk berita dan melabel berita yang datang daripada pihak parti pembangkang sebagai berita-berita palsu, ini adalah suatu penganiayaan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab yang mesti ditentang.,”ujarnya dalam kenyatan hari ini.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengumumkan sebuah jawatankuasa khas sudah dibentuk untuk mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengugat kestabilan politik dan mengancam ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Mesyuarat kali pertama telah dilangsungkan minggu lalu dan dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Jawatankuasa khas tersebut akan mengadakan mesyuarat teknikal kedua bagi melihat cara draf undang-undang baharu berkenaan dibaca bersama akta-akta berkaitan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tarmizi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, banyak berita palsu yang tersebar dicipta oleh oleh tentera cyber yang diupah oleh BN.

“Namun tiada tindakan diambil oleh berwajib seperti polis, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Amanah khuatir, undang-undang yang bakal diperkenalkan ini menjadi satu lagi tindakan BN untuk menyekat pengaruh Pakatan Harapan dalam media sosial, yang menjadi medium sangat berpengaruh kepada pakatan ini mengatasi televisyen yang ditunggangi oleh Umno-BN dalam menyampaikan informasi kepada rakyat Malaysia.

“Tindakan tergesa-gesa yang dibuat oleh BN ini boleh dianggap sebagai langkah “berjaga-jaga” untuk menyaingi massa setelah mereka tidak mampu berlumba dengan Pakatan Harapan dalam mempengaruhi rakyat menyokong mereka, lebih-lebih menjelang PRU14 ini,” ujarnya.

Justeru katanya,Amanah berharap undang-undang baharu ini punyai definisi yang jelas kerana berita palsu tidak semestinya melibatkan individu, ia melibatkan institusi dan organisasi, serta tidak semestinya berita atau informasi palsu itu datang dari dalam negara, ia juga boleh muncul dari luar negara.