Malaysia Dateline

PH komited berperanan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan

Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan UPKO komited untuk terus berperanan sebagai semak dan imbang memastikan negara bebas daripada sebarang salah laku sekaligus bertepatan dengan amalan sistem demokrasi Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, PH berkata, Ahli-Ahli Parlimen akan terus memastikan dasar-dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, pelan anti-rasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi di antara wilayah diusahakan sebaik mungkin.

“Kami menyanjung tinggi titah Tuanku yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia mampu merencat pembangunan serta merosak imej negara di peringkat antarabangsa.

“Sepertimana kes yang membabitkan Riza Aziz, keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala tersebut.

“Kes ini telah menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa,” kata PH lagi.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Presiden-Presiden parti antaranya AMANAH, Mohamad Sabu; PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; DAP, Lim Guan Eng; Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; WARISAN, Datuk Seri Shafue Apdal; dan UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Pada masa sama, PH turut meletakkan harapan agar isu pendemik Covid-19 terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan terus diberi tumpuan khusus oleh kerajaan.

Jelasnya, perkara tersebut amat merisaukan oleh kerana ia membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan kami merasakan ianya perlu dibahaskan seberapa segera.

Menurut PH, ia bertepatan dengan titah Yang Di-Pertuan Agong yang menekankan tentang pembelaan nasib rakyat, keperluan politik matang, bersih dan bebas rasuah, serta rasa kasih dan hormat terhadap agama dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Kami turut menerima baik peringatan Tuanku bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci dan keperluan untuk menangani isu polarisasi kaum dan membendung segala bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang,” katanya.