Malaysia Dateline

PH komited jaga kestabilan politik, terus sokong Mukhriz terajui Kedah

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Kedah Datuk Johari Abdul mengulangi komitmen parti itu dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Sambil menolak andaian kononnya ada ADUN PH akan melompat parti untuk membentuk kerajaan negeri baharu bersama Umno dan Pas, Johari menjelaskan semua wakil rakyat PH komited untuk menjaga kestabilan politik di negeri Kedah.

“Ketidaktentuan politik negara ini perlu dihentikan kerana keutamaan kita adalah rakyat dan kita di Kedah ini jika dilihat wakil rakyat PH kekal utuh dan saya tidak jangka akan ada perubahan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PKR Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu Johari yang juga ADUN Gurun dalam sidang media berkenaan turut mengumumkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi PH Kedah menggantikan Mukhriz.

“Semalam, kami (PKR) telah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin parti DAP dan Amanah dan mereka telah bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi PH negeri yang baharu,” katanya.

Johari berkata pengisian jawatan lain dalam kepimpinan PH negeri pula akan dibincangkan kemudian termasuk penyertaan Mukhriz dan Bersatu sebagai rakan sekutu PH.