Malaysia Dateline

PH konsisten Parlimen perlu bersidang walaupun darurat

Ahli-Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat Pakatan Harapan (PH) berpendirian tegas bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan dalam masa terdekat biarpun darurat masih berkuatkuasa.

Pasukan berkenaan berkata, persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

“Persidangan Parlimen sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah membendung Covid-19 dapat dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen selain memastikan semak dan imbang terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak ekskutif.

“Keputusan untuk mengembalikan Persidangan Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook.

PH berkata, Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan darurat telah mengadakan mesyuarat pertama pada 18 Februari yang lalu.

Dalam pada itu PH berkata, mereka akan menyampaikan pandangan itu secara konsisten di mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan berharap ia akan dipersetujui oleh ahli-ahli Jawatankuasa sebagai pendirian bersama untuk menasihati Seri Paduka Baginda.