Malaysia Dateline

PH Selangor mahu Daftar Pemilih 2017 dibenarkan bantah syor kedua persempadanan SPR

Pakatan Harapan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan kumpulan 100 indidividu yang dibolehkan melaksanakan representasi bantahan ke atas syor kedua Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya.

Dr Xavier Jayakumar

Pengarah Pilihan Raya PH Dr Xavier Jayakumar berkata, notis yang dikeluarkan oleh SPR pada 15 Januari lalu, untuk melakukan bantahan terhadap syor kedua, suruhanjaya itu merujuk kepada senarai Daftar Pemilih Semasa BUB217/2016 yang diwartakan pada 13 Mei 2016 dan dibaca bersama BUB399/2016 bertarik 6 September 2016 telah digunakan SPR untuk persempadanan semula.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan sama ada bantahan syor yang dicadangkan 100 orang dalam senarai daftar pemilih pada 13 Mei 2016 atau daftar pemilih terkini untuk suku ketiga 2017 yang diwartakan pada 17 Januari 2018 juga dibenarkan.

Beliau memaklumkan telah menghantar surat kepada SPR untuk mendapatkan penjelasan mengenai senarai daftar pemilih di negeri Selangor tetapi gagal diperoleh untuk memudahkan bantahan bagi syor kedua dilaksanakan oleh Pakatan Harapan kepada pengundi.

“Jika bantahan kumpulan 100 orang yang dikehendaki SPR yang diwartakan pada 13 Mei 2016 telah diguna pakai untuk persempadanan semula, bolehkah digunakan daftar pemilih terkini untuk suku ketiga 2017 yang diwartakan pada 17 Januari 2018?

“Saya minta penjelasan SPR mengenai senarai daftar pemilih tersebut kerana jika bantahan sekumpulan 100 orang tersebut berdasarkan BUB217/2016 pada 13 Mei 2016, saya mohon SPR memberi salinan daftar pemilih tersebut bagi membolehkan pengundi yang berminat mengemukakan representasi bantahan untuk syor kedua persempadanan tersebut.

“Masalahnya ialah di dalam bantahan ini SPR merujuk pada daftar pemilih pada 2016.

“Adakah senarai daftar pemilih pada 2016 sahaja boleh tandatangan dalam bantahan itu atau senarai daftar pemilih 2017 juga layak membantah,” ujarnya yang mana memaklumkan PH dalam proses untuk mengumpulkan lebih kurang 5,000 tandatangan di dalam 500 kawasan persempadanan di negeri Selangor.

Naib Presiden PKR ini berkata, bantahan bagi syor kedua ini perlu dilakukan oleh PH kerana mendapati SPR masih gagal memenuhi bantahan yang dikemukakan pada syor pertama persempadanan pilihan raya oleh SPR tahun lalu.

“Kita akan buat bantahan pada pameran kedua.Minima 500 kawasan bantahan ke SPR sebelum 14 Februari ini.

“Masih ada kawasan-kawasan dalam syor kedua yang kita nampak perlukan lagi perubahan daripada SPR,” ujarnya.

Beliau menjelaskan terdapat Parlimen dan Dun yang tidak seimbang daripada jumlah pengundi berdaftar di setiap lokaliti dan beberapa isu lain yang memerlukan bantahan bagi syor kedua persempadanan kawasan pilihan raya SPR ini dilakukan.

Jaafar Samsuddin

Dalam sidang media sama Pengarah Pilihan Raya AMANAH Jaafar Samsuddin berkata, PH mahu SPR dapat melaksanakan proses bantahan syor persempadanan ini dengan adil dan saksama membabitkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Bantahan kedua yang kita lakukan ini untuk minta SPR buat sesuatu untuk sama rata dan adil antara pengundi dalam kawasan Parlimen dan Dun.

“Saya harap SPR akan ambil tindakan sewajarnya kemaskinikan kawasan di negeri Selangor dengan menjalankan proses bantahan syor kedua persepadanan dengan adilnya.

“SPR perlu diingatkan terutamanya matlamat persempadanan baharu untuk kemaskinikan beberapa perkara mengenai agihan pemilih di seluruh kawasan pilihan raya.

“Tidak sepatutnya berlaku di kawasan Parlimen dan Dun terlalu besar jumlah pengundi berbanding kawasan lain.

“Dan juga SPR perlu memastikan peranan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) hanya membabitkan satu kawasan pilihan raya jangan lebih daripada satu PBT kerana jika berlaku ia akan menganggu pentadbiran antara PBT dan kawasan pilihan raya,” ujarnya.

Selain itu Jaafar juga berkata SPR harus memastikan tiada unsur luar yang boleh pengaruhi SPR dalam syor akan datang.

“Apa yang penting penambahbaikan yang dilakukan SPR itu perlu mengikuti undang-undang dan perlembagaan negara.

“IsnyaAllah Pakatan Harapan dan rakyat negara ini akan menerima persempadanan disyorkan SPR itu,” ujarnya.

Beliau berkata SPR harus mengambil ingatan terhadap persempadanan yang dilakukan pada 2012 lalu yang memperlihatkan berlaku polarisasi kaum yang begitu dahsyat yang mengwujudkan ‘merigendering.