Malaysia Dateline

PH mahu kerajaan pastikan badan kehakiman bebas sepanjang masa

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun
Tengku Maimun Tuan Mat bahawa “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan
tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman agak keterlaluan”.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden blok pembangkang itu mengingatkan bahawa Perkara 4.1 di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan PH menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan Persekutuan perlu “memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman”.

“Maka, Pakatan Harapan mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PH menggesa agar Putrajaya memastikan MoU terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman.

“Amatlah jelas, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan
sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat,” tambahnya lagi.