PH mahu MB Johor disiasat ekoran rakaman disahkan benar

Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembabitan menteri besar Johor dalam skandal hartanah Bumiputera di negeri tersebut ekoran kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berhubung kesahihan dokumen siasatan skandal tersebut yang dibocorkan pihak tertentu.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Pengerusi PPBM Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mengucapkan terima kasih kepada SPRM khususnya Azam Baki dengan pengakuan yang dibuat.

“Kenyataan tersebut secara tidak langsung telah mengesahkan kesahihan dokumen kenyataan rakaman percakapan berkaitan skandal hartanah melibatkan Exco Negeri Johor.

“Justeru Pakatan Harapan ingin tahu apakah jaminan komitmen pihak SPRM selepas menerima maklumat tersebut? Apakah tindakan yang akan diambil?” kenyataan itu dipetik.

Menurut mereka, persoalan ini amat penting untuk dijawab oleh SPRM memandangkan skandal hartanah yang berlaku melibatkan kepentingan keseluruhan rakyat Johor.

Sehubungan itu, PH Johor sekali lagi mendesak Menteri Besar Datuk Seri Mohd Khaled Nordin segera tampil mengemukakan penjelasan memandangkan nama beliau telah turut sama dikaitkan akhir-akhir ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang peguam panel SPRM menggesa polis menyiasat pihak yang membocorkan dokumen rakaman siasatan skandal melibatkan bekas exco perumahan Johor itu.

Panel penasihat operasi SPRM Datuk Selva Mookiah berkata, siasatan perlu tertumpu kepada kenyataan Azam Baki bahawa dokumen dicap ‘Rahsia’ dengan lebih 100 muka surat itu hanya diberikan kepada peguambela.

“Sekiranya terdapat peguam yang terlibat, bukan sahaja peguam tertuduh, tetapi mana-mana peguam yang terlibat harus diambil tindakan bagi memastikan sistem keadilan dipelihara,” katanya kepada FMT.

Azam sebelum ini dipetik sebagai berkata, SPRM memandang serius kebocoran dokumen itu yang dilihat mendedahkan tuduhan salah laku melibatkan pemimpin kanan politik Johor.

Kenyataan rakaman percakapan itu diserahkan kepada peguam bela berdasarkan undang-undang sedia ada bagi tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

Menurut Azam pihaknya sudah membuat laporan polis bagi menyiasat kebocoran berkenaan.

Sebuah laman web memuat naik kandungan penuh dokumen berkenaan siasatan terhadap bekas exco perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Abdul Latif Bandi.

Latif disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.

April lalu, Latif didakwa atas 33 pertuduhan bersuhabat bersama seorang juru runding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS