Malaysia Dateline

PH mahu PM berunding sebelum bentang Belanjawan 2021

Anwar dan Mohamad Sabu hari ini memakai pelitup muka mematuhi SOP mencegah penularan jangkitan Covid 19

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri mengadakan rundingan mengenai Belanjawan 2012 dengan pihak pembangkang sebelum dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketiga-tiga parti komponen PH iaitu PKR, AMANAH dan DAP percaya semua Ahli Parlimen akan berbahas secara sihat di Dewan Rakyat nanti.

“Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden Pakatan Harapan amat bersetuju dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

“Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6hb November, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku.

“Majlis Presiden yakin bahawa semua Ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah dititah Tuanku,” dipetik dari kenyataan itu.

Kenyataan yang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah itu ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Terdahulu, pemimpin-pemimpin PH mengadakan mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Salahuddin ketika selesai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan petang tadi