PH mahu SPRM selesaikan isu projek sakit di Terengganu

PH mahu SPRM selesaikan isu projek sakit di Terengganu

 

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Bebee Koya memberi tumpuan kepada beberapa isu projek sakit di bawah Barisan Nasional (BN) yang masih belum selesai.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu berkata, Latheefa sebagai seorang yang tegas, cekap dan berani dalam melaksanakan tanggungjawabnya, beliau tetap percaya dengan kebolehan peguam itu.

“Saya percaya Latheefa seorang yang berdedikasi (tegas, cekap dan berani) dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang golongan profesional berlatar belakangkan peguam.

“Dengan begitu banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang menanti untuk dibawa ke mahkamah, kita amat memerlukan seseorang seperti beliau untuk menjalankan tugas dengan cekap dan tegas.

“Saya sangat menaruh harapan kepada SPRM yang kini di bawah kendalian beliau supaya menyiasat kes-kes kontroversi yang memalukan negara dan telah memperbodohkan rakyat selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu, mengambil contoh negerinya yang kaya dengan hasil minyak dan gas, namun pelbagai projek ‘sakit’ dan runtuh serta golongan rakyat miskin terus kekal mendominasi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa kes projek mega berprofil tinggi di Terengganu yang gagal, masih belum menjumpai jalan penyelesaiannya.

“Kerana penuh misteri dan tiada jalan penyelesaianlah ‘projek sakit’ bertambah dan berterusan bermula dari projek sakit bernilai RM300 juta, yang telah mengakibatkan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh.

“Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut dengan kos RM320 juta dan Kompleks Bebas Cukai Kenyir (RM300 juta) juga sama terbengkalai. Ketiga-ketiga projek ini menelan kos hampir RM1 bilion.

“Tindakan segera pihak SPRM adalah amat penting untuk memberi harapan dan kepercayaan kepada rakyat bahawa kita serius dalam menangani penyelewengan, pembaziran dan rasuah.

“Rakyat Malaysia perlu tahu di mana wang mereka telah dibelanjakan dan siapkah yang bertanggungjawab atas kesalahan yang lepas apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah,” tegasnya.