Malaysia Dateline

PH maklum Jawatankuasa Khas Bebas Darurat belum muktamad tempoh darurat

Ahli-ahli Pakatan Harapan dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat memaklumkan jawatankuasa yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh darurat.

PH berkata, masih belum ada lagi keputusan sama ada tempoh darurat dilanjutkan atau ditamatkan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Namun menurutnya, PH masih berpendirian bahawa tiada keperluan untuk darurat dilaksanakan, sebaliknya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat adalah kaedah terbaik.

“Sejak dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat pada awal tahun 2021, kami selaku ahli jawatankuasa ini telah menyampaikan pandangan-pandangan kami kepada jawatankuasa.

“Kami menyampaikan pendirian bahawa pendekatan ‘Government Intervention’ dalam bentuk PKP dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani pandemik Covid-19.

“Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita.

“Setakat hari ini, jawatankuasa masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama antara Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.