Malaysia Dateline

PH mampu bawa kesejahteraan untuk rakyat, kata KB Bersatu Grik

Menjelang setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei ini, sudah tentu rakyat mengharapkan pelbagai perubahan dapat dilaksanakan.

Namun begitu dengan pelbagai kekangan yang ada, kerajaan PH tetap meneruskan agenda untuk membawa perubahan melalui pelbagai dasar dan polisi yang diperkenalkan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Bersatu, Bahagian Grik, Ayob Abd Rahman, ketika ditemui selepas program gotong royong bersama anggota Rela  di Felda Nenering II kelmarin.

Jelas beliau lagi, kerosakan yang telah lama ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini telah, sedang dan akan terus diperbaiki demi kesejahteraan rakyat.

“Walaupun kita menyedari pelbagai kerosakan dan kelompongan wujud dalam kerajaan terdahulu, ia tidak menjadi halangan untuk terus mencari jalan untuk memperbaiki keadaan.

“Jelas pembaharuan yang dilaksanakan turut memperbaiki nasib penoreh getah, pekebun, kecil, nelayan dan juga petani.

“Secara tidak langsung, ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PH untuk membela nasib rakyat sejak menerajui pemerintahan pada Mei tahun lepas, ” katanya lagi.

Beliau juga berkata, pelbagai pertuduhan dan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, membuktikan usaha untuk memastikan ketelusan diteruskan dalam sistem pentadbiran.

“Dakwaan demi dakwaan terhadap kepimpinan BN menyerlahkan lagi usaha untuk membanteras salah laku dan penyelewengan.

“Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan PH bukannya pendakwaan terpilih, sebaliknya bagi membersihkan segala kekotoran yang telah menjadi sebati dalam pentadbiran.

“Oleh kerana itu, pindaan terhadap beberapa akta seperti Sosma, Poca dan seumpamanya juga membuktikan kesungguhan kerajaan PH untuk memberi pembelaan yang sebenarnya kepada semua golongan masyarakat, ” tegasnya lagi.

Tambah Ayob lagi, sekiranya dalam tempoh setahun pelbagai reformasi telah berjaya dilaksanakan, adalah diyakini dalam tempoh empat tahun yang akan datang, banyak lagi perubahan yang mampu dilakukan oleh PH.

Sehubungan itu katanya, rakyat digesa supaya bersabar dan memberi dokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan kerajaan PH untuk membawa pembaharuan sepertimana yang sedang giat dilaksanakan kini.