PH mampu kekal kemenangan PRK Dun Semenyih, kata Bersatu

PH mampu kekal kemenangan PRK Dun Semenyih, kata Bersatu

Pakatan Harapan (PH) mampu untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi Dun Semenyih yang akan datang, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata, sehingga kini enam pencalonan telah pun diterima bagi mengisi kekosongan tersebut dan pengumuman mengenai calon yang akan bertanding akan dibuat pada 14 Februari ini.

“Perbincangan telah pun dibuat dan keputusan telah pun diambil melalui mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Telah dipersetujui bahawa calon yang akan mewakili PH bagi kerusi Dun Semenyih adalah dari Bersatu.

“Gerak kerja telah pun diatur dan akan diketuai oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi PRK kali ini, ” ujar selepas ditemui dalam majlis penerimaan 100 ahli baru parti itu di Bandar Cassia, Batan Kawan semalam.

Majlis penyerahan borang keahlian baru cawangan Bandar Cassia oleh Ketua Penaja Cawangan, Sukri Mat kepada Datuk Marzuki Yahya

Beliau juga optimis kerusi Dun Semenyih akan kekal menjadi milik PH.

Tambahnya lagi, walaupun wujud gabungan kerjasama Pas dan Umno, ia hanyalah ikatan politik semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, kesepakatan yang terjalin antara kedua-dua parti tersebut tidak akan mampu untuk mengukuhkan kerajaan.

“Sebelum ini kemenangan yang telah berjaya diraih adalah melebihi 8000 undi.

“Tetapi dalam PRK kali ini jumlah undi yang mampu diperolehi oleh PH akan bertambah.

“Manakala yang keluar mengundi akan turut meningkat melebihi 60 peratus berdasarkan kepada perkembangan terkini, ” tegasnya lagi.

PRK Dun Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada Umno yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.