PH manfaatkan peluang pertahankan Parlimen Kuala Terengganu

Pendekatan turun padang PH memesrai rakyat lebih berkesan untuk meraih sokongan pengundi di Kuala Terengganu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Pakatan Harapan (PH) khususnya AMANAH akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menurut Pengerusi PH Terengganu itu, PH melihat banyak peluang untuk memenangi kerusi tersebut kerana menjelang PRU14 ini memperlihatkan pengundi-pengundi di kawasan berkenaan ramai yang memberikan kepercayaan kepada PH untuk memerintah.

Kata beliau, setiap kali beliau turun padang menemui pengundi, sebelum membuka mulut, kebanyakan mereka terlebih dahulu berkata bahawa PH mempunyai harapan untuk menang.

Dan kenyataan seperti itu tambah beliau, bahkan datang daripada orang Umno sendiri.

Jelas Raja Bahrin, beliau yakin bahawa trend ini merupakan suatu trend yang meluas, bukan sahaja di kawasan Kuala Terengganu, malah di seluruh negeri Terengganu.

Hal ini ujarnya, pernah berlaku dalam PRU terdahulu.

Parlimen Kuala Terengganu kata beliau, mempunyai sekitar 103,000 orang pengundi dengan pengundi bukan Melayu sekitar 10 peratus.

Persempadanan baharu SPR katanya, akan membuatkan berlaku pertambahan jumlah pengundi tetapi menurutnya, ia tidak begitu drastik seperti yang berlaku di Selangor umpamanya.

Raja Bahrin dalam program forum mengenai masalah kesihatan kanak-kanak di Terengganu baru-baru ini.

Beliau menjangkakan akan berlaku pertambahan sekitar empat hingga lima ribu pengundi sahaja di kawasan itu.

Pengundi-pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, yang kebanyakannya berpusat di Kampung Cina di bandar Kuala Terengganu, jelas beliau, memberi sepenuh keyakinan kepada PH sama seperti mereka memberikan keyakinan mereka kepada Pakatan Rakyat (PR) dahulu.

Mereka menganggap MCA tidak lagi relevan buat kaum Cina di Kuala Terengganu dan diberitakan, MCA sendiri tidak akan lagi menonjolkan calonnya yang lama, sebaliknya akan menggantikannya dengan orang lain.

Berhubung kerjasama anggota PH di Kuala Terengganu, Raja Bahrin berkata, sehingga kini semuanya berjalan lancar dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

Banyak program dibuat bersama dan ia telah dibuat dari awal tahun lagi, jelas Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu itu.

Masyarakat Kuala Terengganu khususnya, kata Raja Baharin, terdiri daripada mereka yang memprotes secara diam.

Trend mutakhir, kerajaan mula menempatkan warga Kuala Terengganu di flat-flat yang dibina semakin tinggi, namun ia mewujudkan masalah sosial baharu.

Justeru, tambahnya PH Kuala Terengganu tidak mengadakan program ceramah besar-besaran untuk menawan hati pengundi.

Sebaliknya kata beliau, tumpuan dibuat untuk mendekati mereka secara terbuka, memberi penerangan ringkas melalui ucapan dari atas kenderaan pacuan empat roda dan kemudian merapati mereka.

“Kaedah ini lebih efektif kerana berlaku komunikasi dua hala dengan masing-masing mendapat maklumat,” kata beliau ketika ditemui Malaysia Dateline.

Berhubung isu, jelas Raja Bahrin, Kuala Terengganu mempunyai banyak isu yang perlu diberi perhatian oleh pengundi.

Antaranya, isu bangunan Pasar Payang, isu kemusnahan warisan Melayu di bandar Kuala Terengganu iaitu kawasan yang sebelum ini terkenal menghasilkan kraf tradisi bermutu daripada tembaga, batik dan sebagainya, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu di Kampung Tok Pelam, Ladang.

Kawasan kraf tradisi itu katanya, kini tidak wujud lagi dan janji untuk menggantikannya dengan penempatan lain hanya tinggal janji.

Isu lain tambahnya, trend mutakhir ini ialah, kerajaan mula menempatkan warga Kuala Terengganu di flat-flat yang dibina semakin tinggi.

Isu perobohan Pasar Payang menjadi perhatian warga Kuala Terengganu.

Hal ini katanya, mewujudkan masalah sosial baharu, sedangkan Terengganu mempunyai banyak tanah yang boleh dibangunkan rumah-rumah atas tanah untuk rakyat.

Isu ketiadaan peluang pekerjaan juga perlu diberi perhatian kerana ia menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke tempat lain, ujarnya.

Isu makanan mahal khususnya ikan, perlu difikirkan kerana Terengganu adalah negeri yang menghasilkan banyak tangkapan ikan dari laut.

Semua ini jelas Raja Bahrin, berpunca daripada ketidakprihatinan kerajaan negeri yang memerintah, tidak memanfaatkan kekayaan negeri untuk kesejahteraan rakyat, membazir dan tidak tahu mengurus dengan baik.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES