PH masih ada masa tunai janji, kata Dr Mahathir

PH masih ada masa tunai janji, kata Dr Mahathir

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai masa untuk menunaikan janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum lalu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, terdapat janji yang telah PH berjaya laksanakan manakala ada yang sedang dipenuhi dan masih belum dicapai.

“Kita janji untuk lima tahun, ini belum lima tahun tetapi ada (janji) yang sudah kita capai, ada yang kita capai separuh dan ada masa lagi yang belum dicapai sepenuhnya.

“Namun janji untuk membanteras rasuah menjadi keutamaan, kita gubal banyak undang-undang mengenai rasuah malah wujudkan agensi baharu kerana kita serius untuk perangi rasuah.

“Daripada laporan yang kita terima, rasuah yang besar sudah tiada lagi, malah Perdana Menteri juga tidak lagi mencuri wang, setakat yang diketahui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah rasuah kecil-kecilan turut ditangani,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, PH terus kekal sebagai gabungan parti yang memerintah adalah janji terbesar yang berjaya dipenuhi oleh kerajaan sejak mentadbir negara.

“Anda tahu saya datang dari mana, tetapi kami kekal bersama, anda lihat sendiri mereka (pemimpin parti dalam PH) terus kekal bersama saya mewakili lima parti dalam gabungan pakatan,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan Kabinet berfungsi dengan baik seperti dijangka dengan mencapai keputusan secara konsensus.

“Kita ada pandangan yang berbeza tapi kita boleh duduk bersama dan bekerja mengikut konsensus, inilah yang menyebabkan setakat setahun setengah pentadbiran ini kita tiada masalah.

“Ada pertengkaran di luar Kabinet, tapi dalam Kabinet walaupun saya sedia nak tumbuk siapa-siapa yang lawan tapi pada akhirnya semua mencapai persetujuan dan kita dapat teruskan pentadbiran,” selorohnya.