PH masih berunding, PKR anggap sudah selesai agihan kerusi Selangor

PH masih berunding, PKR anggap sudah selesai agihan kerusi Selangor

Walaupun Pakatan Harapan (PH) di kebanyakan negeri sudah memuktamadkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi lain pula halnya di Selangor.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Khalid Samad berkata, rundingan berkenaan enam lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) masih berjalan.

Menurutnya, keputusan muktamad berhubung kesemua kerusi yang disandang Pas dan BN itu akan dicapai dalam masa terdekat memandangkan hari penamaan calon semakin hampir.

Khaled Samad

Beliau berkata, faktor potensi untuk PH memenangi kerusi-kerusi terbabit menjadi penyebab proses rundingan antara empat parti di bawah blok itu berpanjangan.

“Kerusi ini sangkut (tertangguh) atas dua sebab. Nombor satu (kerusi) jamin menang, nombor dua jamin kalah.

“Yang jamin menang semua nak, yang jamin kalah semua tak nak.

“Sebab itu dia sangkut, jadi nak beri pun, orang tolak dan mana yang nak ambil, semua orang tarik,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam semalam.

Enam kerusi Dun terbabit adalah Seri Serdang, Lembah Jaya serta Dusun Tua yang disandang Pas manakala BN memiliki Sungai Panjang, Sungai Burong dan Kota Damansara.

Walau bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar pula menganggap agihan bagi kerusi terbabit sudah selesai.

Naib Presiden PKR itu berkata, partinya telah “memberi tawaran” kepada tiga sekutu lain dan terpulang kepada parti-parti terbabit jika mahu menerimanya.

Bagaimanapun, Xavier enggan menjelaskan bentuk “tawaran” yang dikemukakan PKR itu.

“Ia sudah selesai. Menurut PKR, kita sudah beri tawaran dan sebagainya dan terserah kepada parti lain untuk ambil tawaran itu.

“Untuk PKR, kami putuskan kerusi (enam kerusi Dun) itu sudah selesai,” dipetik dari FMT yang dihubungi semalam.

Dr Xavier Jayakumar

Sebelum ini, Xavier pernah memberitahu, partinya bercadang mahu bertanding di 21 kerusi yang sama ditandingi pada pilihan raya lalu.

“Kami yakin dapat menanginya,” dipetik dari Astro Awani, 4 Februari lalu.

Beliau menegaskan PKR harus diberi keutamaan bertanding lebih banyak kerusi di Selangor memandangkan Menteri Besar dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pemimpin negeri tersebut.

“Ada beberapa pihak yang mahukan (jumlah) kerusi yang sama tetapi PKR ingin menegaskan bahawa kami adalah kerajaan di negeri ini dan Menteri Besar adalah daripada parti kami.

“Oleh itu, kami yang harus bertanding lebih banyak kerusi di Selangor,” kata Xavier lagi.

Pada PRU13, PKR hanya menang 13 daripada 21 kerusi Dun ditandingi.

Kerusi Dun Selangor pada masa ini terdiri daripada DAP sebanyak 14 kerusi, PKR dan Pas masing-masing 13, BN (12) manakala AMANAH dan Bebas masing-masing dua kerusi.

Pada PRU14, seramai 2,369,488 pemilih berdaftar di Selangor dengan 52.1 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, Cina (32.9 peratus), India (13.9 peratus) dan lain-lain 1.1 peratus iaitu 26,742 orang.

6.0
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.0
CATEGORIES