Malaysia Dateline

Mohd Arshad Raji

PH masih boleh bentuk kerajaan, tidak perlu pilihan raya, kata Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menentang gesaan dari blok pembangkang supaya diadakan pilihan raya umum susulan kemelut politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata, PH yang kini terdiri daripada tiga gabungan komponen terbesar iaitu AMANAH, PKR dan DAP seharusnya diberikan peluang membentuk kerajaan.

Beliau berkata, setakat ini tiga komponen tersebut merupakan kumpulan paling bersatu dan mempunyai jumlah ahli parlimen yang lebih banyak berbanding kumpulan lain.

“Patriot ingin melihat PH diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Biarkan PH terus mentadbir kerana ia juga merupakan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka.

“Patriot meminta anggota parlimen dari Bersatu, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), agar bergabung dengan PH dan membantu membentuk kerajaan.

“Adalah baik bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai gabungan baru ini dalam tempoh interim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, pilihan raya sepatutnya harus dielakkan pada semua kos lebih-lebih lagi apabila mengambil kira keadaan ekonomi negara yang semakin merosot.

Malah katanya, desakan parti oposisi yang mahukan pilihan raya diadakan sebagai tindakan tidak bijak dan mementingkan diri sendiri.

Katanya, Umno yang telah merosakkan keadaan ekonomi sehingga hampir menyebabkan kemusnahan negara, seharusnya tidak boleh dibenarkan memerintah lagi.

“Pilihanraya umum pada masa ini hanya akan menjadikan ekonomi negara kita semakin meleset,” katanya.

Mohamed Arshad juga mengkritik tindakan segelintir ahli politik PKR dan Bersatu yang bersekongkol untuk bekerjasama dengan pembangkang iaitu Umno dan Pas.

Beliau berkata, tingkah laku mereka hanya menunjukkan keserakahan dan mementingkan diri dengan meletakkan kepentingan diri melebihi keperluan rakyat.

Beliau turut menegaskan agar kerajaan perlu dibentuk dengan kadar segera agar dapat memfokuskan pemulihan industri pelancongan yang selama ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).