Malaysia Dateline

PH masih utuh, Mahathir tolak dakwaan sokongan PH merosot

Dakwaan yang mengatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan semakin merosot adalah tidak benar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, realitinya kajian yang mengambil hanya beberapa pendapat tidak boleh dianggap tepat kerana ia tidak melambangkan suara kesemua pihak.

“Saya sedar ada pihak yang menyatakan bahawa sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan ini telah menurun dari 80 peratus ke 38 peratus.

“Saya tak tahu dari mana mereka buat kajian ini. Kita berpendapat bahawa kajian yang bertanya kepada sebilangan pendapat sahaja, ianya tidak tepat.

“Setakat yang kita tahu, sokongan pada kerajaan masih kuat dan kita juga tahu bahawa kerajaan ini walaupun terdiri dari lima parti yang bergabung, tapi kita masih dapat kekal sebagai kerajaan yang boleh bincang pelbagai masalah dan membuat keputusan yang diterima oleh semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media temu rapat bersama ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Warisan di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim; Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng; serta Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr Yusof Yacob.

Sementara itu, mengulas tentang pelaksanaan GST, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak pernah berkata akan bersetuju melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Itu (laksana GST) adalah pendapat dari beberapa pihak. Apa saya cakap adalah, jika rakyat mahukannya, ya kita akan kaji dan pertimbangkan.

“Pertimbangkan tidak bermakna kita setuju laksanakan. Kita mungkin boleh tambahbaik SST, tapi kita tak putuskan untuk menggantikan SST dengan GST.

“Tapi tentunya, apa yang dilaporkan media itu buatkan pihak pembangkang gembira,” katanya.

Dalam majlis sama, Dr Mahathir berkata, temu rapat yang diadakan selama dua hari antara PH dan parti Warisan Sabah itu melibatkan kehadiran hampir 130 Ahli Parlimen dan pemimpin.

Tambahnya, temu rapat itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dan wakil rakyat disamping memberi penjelasan tentang dasar-dasar baharu kerajaan terutama tentang dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

PH masih dapat kekal sebagai kerajaan walaupun terdiri dari lima parti yang bergabung, kata Mahathir.