Malaysia Dateline

PH Melaka bawa kes Speaker ke mahkamah

Pakatan Harapan (PH) Melaka, melalui Speaker dan Timbalan Speaker akan memfailkan saman pemula untuk mencabar keabsahan kedudukan Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusof yang telah dilantik sebagai Speaker dan ADUN Rim, Ghazale Mohamad sebagai Timbalan Speaker.

Pengerusinya, Adly Zahari dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut diambil setelah PH Melaka mengadakan perbincangan dengan pasukan peguam.

“Langkah Perikatan Nasional (PN) dengan meneruskan persidangan DUN telah mencabar peraturan DUN dan kuasa yang ada pada Speaker.

“Mereka juga malah telah melantik Speaker yang baru serta telah meluluskan Usul berkaitan perlantikan Ahli Dewan Negara(Senator).

Beliau yang merupakan Ketua Pembangkan DUN Melaka itu menjelaskan, Speaker adalah Ketua Pegawai dalam Dewan Undangan Negeri dan hendaklah mempunyai keutamaan daripada semua ahli yang lain dalam Dewan mengikut Aturan Mesyuarat 2(4).

Maka katanya, segala urusan mesyuarat termasuk perlantikan “Speaker” dan “Senator” yang dibuat adalah tidak sah selepas sidang DUN telah ditangguhkan oleh Speaker (Datuk Wira Omar bin Jaafar) yang sah.

“Ini telah menunjukkan Pengerusi Umno Melaka sebagai seorang yang kemaruk kuasa hingga membelakangkan institusi DUN Melaka.

“Pakatan Harapan sekali lagi menyatakan kekesalan terhadap kacau bilau yang telah ditimbulkan pihak Kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional sekali gus menunjukkan kepimpinan Ketua Menteri yang lemah,” kata bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Katanya, PH kecewa kerana berlaku kekecohan dalam sidang DUN kali yang ini sepatutnya membincangkan pelan tindakan kesan dari Covid-19 kepada ekonomi dan sosial negeri.

“Seharusnya rakyat perlu diutamakan berbanding agenda peribadi kelompok tertentu,” katanya.