Malaysia Dateline

PH Melaka mantap, mampu tumpaskan BN, kata Sofi

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab (gambar atas) menyifatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron sebagai terlalu “confident” (yakin) dan tidak melihat kepada situasi politik terkini.

Sedangkan isu sekarang bukannya soal merampas Dun yang dimenangi pembangkang, tetapi mampukah BN mempertahankan negeri Melaka, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Idris yang dilaporkan akhbar baru-baru ini, bahawa Barisan Nasional (BN) Melaka mampu merampas tiga kerusi yang sekarang dikuasai pembangkang.

“Idris Haron tidak wajar mendabik dada dan terpaksa menyembunyikan kegusaran beliau sama ada BN mampu untuk mempertahankan negeri Melaka atau sebaliknya.

“Dengan menamakan satu Parlimen dan dua Dun untuk dirampas ini membuktikan beliau tidak yakin akan kemampuan BN di Dun-Dun dan Parlimen yang dimenangi pembangkang sebelum ini,” kata Sofi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sofi yang juga Naib Pengerusi PH Melaka itu, PH Melaka berada dalam keadaan mantap lebih-lebih lagi selepas selesainya pembahagian kerusi Parlimen di peringkat nasional dan negeri Melaka di mana PKR dan PPBM memperolehi masing-masing dua kerusi sementara AMANAH dan PKR masing-masing satu kerusi.

“Tidak pernah berlaku sebelum ini isu pembahagian kerusi diselesaikan jauh lebih awal dari pembubaran Parlimen,” kata beliau.

Tambah beliau, rakyat khususnya orang Melayu semakin yakin kepada PH terutama selepas pengumuman Tun Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai calon PM dan TPM PH selepas PRU14 nanti.

“Manakala sokongan pengundi Tionghua berada dalam tahap paling maksimum. Masyarakat India juga semakin terserlah sokongan mereka kepada PH.

“Isu kehidupan rakyat yang semakin menderita akibat peningkatan harga minyak, barangan dan perkhidmatan benar-benar menyedarkan rakyat tentang kegagalan BN memerintah negara dan wajib ditumbangkan pada PRU14 nanti.

“Isu lain seperti 1MDB, kehilangan tanah Felda dan lain-lain menjadikan golongan professional dan pertengahan semakin tidak percaya terhadap kemampuan BN memerintah Malaysia,” kata Ketua AMANAH Bukit Katil itu.

Menurutnya lagi, kegagalan badan-badan penguatkuasa seperti SPRM dan sebagainya bertindak kepada orang atasan dan yang ada kaitan dengan BN yang ditangkap tetapi tidak didakwa juga menunjukkan kegagalan kerajaan dan badan-badan tersebut bertindak telus.

“Kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara di mana hutang negara semakin meruncing, nilai ringgit merudum dahsyat menyebabkan kepercayaan kepada kerajaan BN semakin parah,” katanya.