Malaysia Dateline

PH Melaka nyatakan solidariti buat Rafizi dan Johari

Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka kesal dan kecewa dengan keputusan mahkamah ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad pada Rabu lalu sekali gus menyatakan solidariti buat keduanya.

Pada 7 Februari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menjatuhkan hukuman 30 bulan penjara ke atas Rafizi Ramli dan Johari Mohamad bank atas kesalahan membocorkan data perbankan berhubung akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd. (NFC).

Adly Zahari

“Atas rasa semangat setiakawan yang wujud dalam PH, seluruh pimpinan PH Melaka melahirkan rasa kesal dan kecewa atas keputusan yang dibuat oleh mahkamah tersebut.

“Tidak kurang itu barisan pimpinan PH Melaka menyatakan solidariti penuh kepada YB Rafizi dan saudara Johari atas keputusan tersebut,” kata Pengerusi PH Melaka, Haji Adly Zahari dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, hukuman yang dikenakan tidak sedikit pun melunturkan semangat PH khususnya di Melaka dalam pendedahan salah laku yang dilakukan oleh kerajaan negeri hari ini.

Malah semangat YB Rafizi akan terus menyala dalam tekad kami untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU ke-14 yang bakal datang, kata beliau.

Rakyat jelasnya, diseru membuka mata terhadap tindakan yang telah dikenakan kepada YB Rafizi dan saudara Johari.

“Sikap atau taktik menakutkan sesiapa yang bertindak sebagai “whistleblower” (pemberi maklumat) adalah cara kotor mereka dalam menutup kebejatan yang dilakukan.

“Inilah yang dinamakan hipokrasi, yang memberi maklumat dianggap penjenayah tetapi yang dianggap penjenayah dibiarkan bebas.,” sambungnya.

Kata Adly lagi, PH Melaka sekali lagi menegaskan keutuhan pihaknya berdiri sebaris pihak yang membongkarkan salah laku dan menegakkan kebenaran.