Malaysia Dateline

PH Melaka sahkan Pejabat YDP sudah terima surat mohon menghadap

Pakatan Harapan Melaka mengesahkan mereka sudah menghantar surat ke Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri bagi memohon menghadap bagi membincangkan senario politik semasa.

Pengerusinya Adly Zahari memaklumkan beliau telah menyampaikan surat berkenaan bagaimanapun pertemuan tidak dapat dilakukakan kerana TYT Tun masih dalam kuarantin kendiri Covid 19.

“Semalam saya telah menyampaikan surat ke Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka.

“Seperti yang kita sedia maklum bahawa TYT Tun masih dalam kuarantin kendiri Covid 19.

“Bersama kita berdoa agar Tuan Yang Terutama Tun dan keluarga sentiasa sihat disamping rahmat Ilahi,” maklum Adly yang juga ADUN Bukit Katil.

Surat mohon menghadap telah diterima Pejabat TYT pada 2.30 petang semalam

Surat yang diserahkan kepada Setiausaha Sulit TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka pada jam 2.30 petang semalam, antaranya memohon mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan senario politik semasa negeri Melaka ke arah memastikan kestabilan politik agar pemulihan ekonomi negeri dapat berjalan dengan baik demi kesejahteraan rakyat.

Semalam, empat ADUN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekaligus mendakwa kerajaan negeri Melaka telah tumbang.

Sehingga kini tiada sebarang kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam boleh dilakukan oleh mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini.

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri Melaka Nur Azmi Ahmad berkata ini kerana Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri bermula 30 Sept lepas selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 dan tempoh kuarantin itu berakhir pada hari tersebut.