Malaysia Dateline

PH mesti segera putuskan kerjasama ‘khemah besar’, usah buang banyak masa

Blok pembangkang hari ini dilihat lesu terutama di pihak gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas tewas dalam PRN ‘norma baharu’ Melaka bulan lalu.

Sejurus kekalahan PH berlaku pelbagai asakan dari dalam dan luar yang menggesa beberapa nama lama digugurkan untuk mengepalai pembangkang secara khusus yakni bagi PH. Serangan bertubi serang ‘hang dan aku’ tidak menguntungkan sesiapapun termasuk rakyat.

PH perlu sedar saat PRU-14 sudah berlalu, kenangan mandat yang dirampas itu sudah lali dan tidak perlu diingat kembali.

Cadangan konsep ‘khemah besar’ dilihat sangat ‘legit’ dan meyakinkan pada masa ini. Sifat berunding dan terbuka PH perlu diperluaskan tanpa ada anggapan negatif kepada pihak sealiran terutama kepada Pejuang dan Warisan.

Pembangkang seakan-akan hilang identiti dan lebih mengutamakan kepentingan parti sendiri dengan hanya bergerak atas nama dan logo tertentu di majoriti tempat.

Alangkah indah bergerak atas nama dan logo gabungan, bukankah itu cara sesuai untuk lebih dikenali ramai?

Rakyat hari ini mahu melihat apa penyelesaian dan alternatif yang akan disajikan pembangkang bukan lagi mahu mengira ‘number’ untuk mencapai sesuatu jawatan sehinggakan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Kritikan pihak dalam dan luar mahupun baru atau lama sekalipun perlulah diambil serius agar PH dilihat diinsklusif dan bukannya ekslusif kepada golongan tertentu semata.

Jika menjelang PRU-14 pada 2018, pelbagai isu mengenai korupsi khasnya skandal pelaburan 1MDB menjadi tarikan pengundi untuk memilih PH apatah lagi sekarang masalah pengangguran, pengurusan bencana dan kenaikan kos sara hidup yang makin tinggi.

Jadi PH perlu sedar isu begini mampu menaikkan kembali mood rakyat untuk terus menolak BN dan juga menolak PN yang dibarisi pengkhianat sekiranya PH bijak memainkan isu di platform media baharu.

Akhir kalam, tarikh PRU-15 kemungkinannya pada awal tahun depan namun dengan berlakunya trend peningkatan kes Covid-19 hari ini dilihat sangat sukar untuk PH terus menyantuni rakyat berbilang bangsa dengan program ceramah kelompok dan himpunan mega kerana SOP sangat ketat sementelah berkaitan program politik di negara kita.

Pemimpin PH perlu ‘tepuk dada tanya selera’, adakah ‘aku dan parti aku’ bersedia pelbagai segi terutamanya kewangan dalam membudayakan platform media baharu bagi menggamit minat anak muda terutama pengundi 18 tahun ke atas.

Jika tidak, peluang PH untuk memperoleh mandat baharu kali ini mungkin terlepas begitu saja dan kita bakal melihat Najib Razak kembali berkuasa memerintah semula di Malaysia kelak.

*ABRAR SADIQ merupakan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Kepala Batas.