Malaysia Dateline

Adly minta anak muda prihatin politik untuk jaga kebajikan mereka

Anak-anak muda perlu mengambil berat tentang politik kerana sistem demokrasi banyak memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan parlimen Alor Gajah, Adly Zahari berkata, sikap ini perlu ada di kalangan anak muda kerana apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka punyai kaitan dengan politik.

Sebagai contoh, ujar beliau, uniform yang di pakai ketika bersekolah, waktu persekolahan, gaji minima, jam bekerja atau berapa hari bekerja seminggu, semuanya ditentukan oleh ahli parlimen yang dipilih dalam pilihan raya.

Adly yang juga Pengerusi PH Melaka berucap pada majlis bersama anak muda di Solok Seberang Perai, Kampung Sungai Petai, dekat sini, pagi tadi.

Turut hadir Ketua Amanah Kawasan Alor Gajah, Datuk Dr Hasan Baharom dan Pengerusi Amanah Cawangan Kampung Sungai Petai, Yahya Saad.

“Begitu juga dengan beras yang kita makan, beras apa yang kita perlu import dan sebagainya. Jadi orang-orang muda perlu sedar tentang perkara ini,” tambah beliau.

Menurut Adly, tarikh pengundian pada 19 November ini penting untuk masa depan negara.

“Malaysia ini sebuah negara yang kaya. Sehubungan itu bagi parlimen Alor Gajah ini banyak inisiatif dan program yang boleh kita lakukan untuk anak-anak muda termasuk rekreasi,” ujarnya.

Beliau berkata, semasa menerajui kerajaan negeri banyak inisiatif yang telah kerajaan PH negeri tawarkan kepada anak muda antaranya rumah sewa pada harga RM150 sebulan.

“Jika kita bergaji RM2000 sebulan, kadar sewa RM150 sebulan banyak membantu kita (mengurangkan kos sara hidup) khususnya bagi yang baru berkahwin.

“Kita boleh dapat gaji RM3000 tapi jika kadar sewa yang kita tanggung RM700 (sebulan) ianya tidak banyak membantu.

“Baik kita dapat gaji RM2000 sebulan tetapi kadar sewa rumah cuma RM150 atau RM200 (sebulan), ia banyak membantu.

“Jika gaji kita tinggi tapi kos kehidupan, barang keperluan, kenderaan, pendidikan anak-anak terus meningkat menyebabkan kita rasa terbeban,” jelas beliau di hadapan puluhan anak muda yang hadir.

Tambah beliau, Pakatan Harapan banyak menawarkan insentif kepada anak-anak muda antaranya bagi pasangan bekerja yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan.

Adly juga menyeru anak-anak muda agar bersama menyelamatkan negara dari penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ini katanya, dapat dilihat dari laporan Jabatan Audit Negara yang mengesan berbilion ringgit ketirisan dalam perbelanjaan agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut beliau, ketirisan berjumlah berbilion ringgit itu sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai projek-projek infrastruktur dan kemudahan awam.

Sebagai contoh ketika PH mentadbir Melaka, kerajaan negeri pimpinan beliau telah membelanjakan RM6 juta untuk memberikan 100 unit rumah berharga RM50,000 sebuah secara percuma kepada rakyat yang layak.

Menurut Adly, jika ketirisan berjumlah berbilion ringgit itu digunakan untuk kesejahteraan rakyat khususnya golongan belia bagi mereka meningkatkan taraf hidup dan pendapatan, juga mengurangkan kos dan beban hidup rakyat, ia lebih bermakna.

Beliau menyeru golongan muda untuk keluar mengundi beramai-ramai dan menyokong Pakatan Harapan bagi membawa perubahan positif kepada negara.

Rakyat berumur 18 tahun ke atas, jelasnya secara automatik layak mengundi dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk keluar mengundi.

Adly berharap dengan sokongan anak muda, PH akan meraih kemenangan di Alor Gajah seterusnya menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sempena majlis itu, Adly dengan diiringi konvoi motorsikal menziarahi sebuah keluarga yang ditimpa musibah untuk memberikan bantuan.

Adly menghadapi saingan empat penjuru di kawasan parlimen Alor Gajah membabitkan calon BN, PN dan Pejuang.

Beliau berhadapan Shahril Hamdan (BN), Datuk Mohd Redzuan Md Yusof (PN) dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang).