Malaysia Dateline

PH minta TNB, Telekom, Telco juga sedia moratorium selama 6 bulan

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menyeru kepada kerajaan untuk melaksanakan tiga langkah drastik terlebih dahulu, tanpa menunggu hari pengumuman pakej rangsangan ekonomi.

Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini mencadangkan, semua perkhidmatan utiliti seperti Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, syarikat telekomunikasi dan lain-lain menyediakan moratorium umum automatik selama enam bulan bagi bil terkumpul dan penggunaan sepanjang tempoh enam bulan akan datang.

“Mereka juga harus membenarkan pembayaran balik secara ansuran selepas tempoh enam bulan tersebut. Tindakan segera dan berani diperlukan untuk menangani waktu yang luar biasa ini.

“Langkah ini juga akan membantu isi rumah dan perniagaan menumpukan usaha pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan seterusnya jangka masa pemulihan dalam tempoh enam bulan.

“Kemudian, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan juga telah mencadangkan supaya penerima Bantuan Sara Hidup (isi rumah B40) diberikan RM1,000 bagi bulan Mac dan RM1,000 bagi bulan April untuk meringankan beban kesan kejutan Covid-19. Pindahan tunai adalah cara paling berkesan untuk menyalurkan wang tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Ini akan menjadi relevan untuk mengekalkan mereka yang berada di sektor tidak formal atau tiada pendapatan tetap yang merupakan segmen besar tenaga kerja negara, malah mereka yang mempunyai pendapatan tetap di sektor formal turut terkesan, tetapi keadaan lebih buruk bagi mereka yang berada di sektor tidak formal,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Kenyatan bersama itu dibuat oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Senator Liew Chin Tong.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan turut mencadangkan berkaitan kemudahan tunai buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan rangsangan tambahan hampir RM150 bilion.

“Peruntukan untuk meredakan aliran tunai bagi perniagaan kecil perlu ditingkatkan, diperluaskan skop, dan dibuat tanpa faedah. Ini akan memastikan PKS dapat mengekalkan tenaga kerja mereka dan terus hidup selagi keadaan ekonomi yang mencabar kekal.

“Kami juga sedia maklum berkenaan laporan terbaru Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menyeru agar Kerajaan menanggung semua pendapatan yang hilang sepanjang krisis ini. Anggaran jumlah kerugian pendapatan isi rumah akibat krisis ini adalah pada tahap RM 95 bilion.

“Mereka juga menyeru rangsangan ekonomi tambahan sebanyak RM 75 bilion, susulan pakej rangsangan pertama berjumlah RM 20 bilion. Namun, beberapa langkah yang diumumkan dalam pakej pertama tidak dapat mencapai kerberkesanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, anggaran awal daripada negara-negara terjejas lain menunjukkan impak yang lebih tinggi kepada KDNK. Sebagai contoh, KDNK China telah jatuh sekitar 13 peratus pada bulan Januari dan Februari.

“Kita juga perlu mengambil kira ramalan ramai, termasuk unjuran JP Morgan bahawa lengkungan jangkitan akan meningkat pada pertengahan April kepada sekitar 6,300 kes.

“Oleh itu, kami mencadangkan pakej rangsangan tambahan yang lebih besar, supaya jumlahnya menghampiri RM150 bilion, atau 10 peratus KDNK tahunan Malaysia,” katanya lagi.