Malaysia Dateline

PH mohon kerajaan umum jumlah peralatan perlindungan dari semasa ke semasa

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini meminta agar kerajaan dapat mengumumkan jumlah sebenar baki peralatan perlindungan diri (PPE) dari semasa ke semasa.

PH berkata, ia berikutan keresahan dan kegelisahan rakyat berkaitan keterdesakan bekalan beberapa peralatan yang amat diperlukan ketika ini.

Malah, PH menyambut baik pengumuman kerajaan yang akan mengkaji semula harga topeng muka yang terlalu tinggi.

“Namun persoalan asasnya masih sama ada jumlah bekalan topeng muka di Malaysia mencukupi.

“Adakah Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah termasuk mempercepat perbincangan “Government-to-Government” (G-to-G), untuk memudahkan pengeluaran komersil dan industri.

“Pada masa sama memberi pelepasan cukai di bawah Akta Kastam 1967 bagi pihak yang mengimport topeng muka untuk tujuan amal dan kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Majlis Setiausaha turut mengambil maklum beberapa peralatan yang diperlukan termasuklah topeng muka, sanitizer, kit ujian COVID-19, alat pelindung diri (PPE) dan alat bantuan pernafasan (ventilator)

PH berkata, dengan menyenaraikan jumlah baki peralatan, agensi kerajaan termasuk sektor awam dan swasta dapat menyelaras dan menumpukan sumber ke arah pengeluaran dalam negara atau pemerolehan dari luar negara.

“Sekiranya statistik ini dapat diterbitkan bersama langkah-langkah menghadkan pembelian, ia akan dapat mengekang sikap beli panik (panic buying) dan penimbunan (hoarding) dalam kalangan orang ramai,” katanya.