Malaysia Dateline

PH-Muda: Presiden AMANAH percaya kali ini jentera pilihan raya PH lebih baik dan tersusun

Presiden AMANAH Mohamad Sabu yakin dan percaya jentera parti Pakatan Harapan akan jauh dan lebih baik serta bersedia sepenuh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Katanya, gabungan Pakatan Harapan, PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjadikan jentera parti akan lebih teratur dan tersusun bagi menghadapi PRN kali ini.

“Mengambil iktibar dari dua PRN sebelum ini, saya yakin jentera parti kali ini jauh lebih baik dan bersedia sepenuhnya,” katanya mengulas pelancaran jentera parti di Johor petang tadi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Raja itu mengingatkan jentera parti perlu menjadi benteng pertahanan mental dan jiwa untuk menangkan calon Pakatan Harapan.

“Kerja dengan ikhlas, matlamat biar jelas dan perencanaan harus teratur.

“InsyaAllah, berkat kerja keras, sabar dan doa berterusan kemenangan akan memihak kita,”kata beliau.

Jam 2.00 petang tadi, Pakatan Harapan dan Muda melancarkan jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pelancaran sekali gus pengumuman kerjasama rasmi bakal menyaksikan kehadiran empat ketua parti iaitu PKR, AMANAH, DAP dan Muda di Dewan Kencanapuri di Pulai Spring Resort.

‘Johor Bangkit Maju Bermaruah’ dipilih sebagai tema pelancaran bagi gabungan kerjasama keempat-empat parti terbabit dalam mendepani PRN Johor.