Malaysia Dateline

PH mulakan Jelajah Harapan, Selangor negeri pertama

Selangor menjadi negeri pertama bagi siri ceramah Jelajah Harapan Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pantai Morib bermula 8 malam esok.

Program mega Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) itu membuka tirai di negeri kubu kuatnya sejak bergelar Pakatan Rakyat apabila berjaya merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008.

Ceramah esok bakal menyaksikan kehadiran kesemua pemimpin tertinggi dari empat parti komponen PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara (AMANAH), Loke Siew Fook dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Madius Tangau dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shaari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim juga akan hadir.

Izham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah merangkap Pengerusi AMANAH Selangor.

Turut tampil ke pentas ceramah esok ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang juga Timbalan Pengerusi DAP.