Malaysia Dateline

PH mungkin perlu perluas kerjasama tapi bukan dengan ‘kluster mahkamah’

Pakatan Harapan (PH) mungkin perlu memperluaskan kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi sama sekali tidak harus berkompromi dengan ‘kluster mahkamah’.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kerjasama atau penjajaran baharu politik bagi blok pembangkang dengan parti-parti lain mesti dipastikan sesuai dengan kepentingan rakyat seperti diperjuangkan PH.

Jelasnya, tindakan PH meluaskan kerjasama politik untuk menambah sokongan rakyat perlu tetapi dalam masa sama sokongan asas yang diperoleh pada PRU14 lalu mesti dipastikan kekal.

“PH mesti tolak awal-awal untuk berkompromi dengan mereka yang ada kes mahkamah, isu integriti dan kepincangan urus tadbir.

“Kita tidak mahu disebabkan berkompromi dengan ‘kluster mahkamah’, akhirnya lebih banyak lagi perkara perlu dikompromi,” tegasnya dalam wawancara di pejabat Malaysia Dateline semalam.

Shazni tidak mahu lebih banyak lagi perkara perlu dikompromi jika PH jalin kerjasama dengan ‘kluster mahkamah’

Untuk rekod, beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak terkait dengan kes mahkamah.

Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut berdepan perbicaraan di mahkamah atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Turut berdepan kes di mahkamah ialah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin; bekas pengerusi Felda Shahrir Samad serta bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional menegaskan jika kompromi dengan ‘kluster mahkamah’ berhasil ke Putrajaya sekalipun hanya akan membebankan dan membahayakan PH untuk jangka panjang.

“Kalau mentadbir dalam keadaan banyak sangat perkara perlu dikompromi dengan banyak harapan diletakkan kepada kita, apa manfaatnya kita menang?

“Lebih baik kita raih kemenangan dengan hala tuju yang jelas, apa yang kita hendak bawa dan secara selesa buat apa yang patut kita buat,” katanya.

Sebelum ini, Umno dilihat melakukan ugutan mahu keluar daripada kerajaan PN yang ditunjangi Bersatu kerana keengganan menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi sejumlah pemimpinnya.

Ahmad dalam satu dialog pada Januari lalu mendedahkan salah satu sebab utama Umno tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana penerusan kes mahkamah terhadap para pemimpin Umno.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian bahkan berkata, hal itu yang dianggapnya “meneruskan kezaliman kerajaan dahulu” iaitu PH sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati Umno dalam soal agihan jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, Shazni menekankan pentingnya terma kerjasama PRU15 antara PH dengan parti-parti lain sebagai asas kesepakatan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Asasnya ialah terma kerjasama, apa yang kita mahu. Kalau kedua-dua pihak boleh bersetuju untuk menurunkan tandatangan, jadilah kerjasama.

“Tapi kalau dari awal menarik tali, tidak setuju itu, tidak setuju ini, itu masalah. Kita tidak mahu hilang sokongan asas kita.

“Kalau kita gadaikan teras perjuangan kita, maka sokongan asas ini akan hilang,” tambah Shazni lagi.

Sokongan asas akan hilang jika PH gadai teras perjuangan, tegas Shazni.