Malaysia Dateline

PH mungkiri lagi janji manifesto lantik Latheefa Koya Ketua Pesuruhjaya SPRM, kata Pas

Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipersoal kepimpinan Pas Pusat hari ini.

Menurut Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan pelantikan Peguam dan Pengarah Eksekutif Lawyer For Liberty itu bertentangan dengan Janji 14   iaitu Mereformasikan SPRM dan memperkasa usaha membanteras rasuah  apabila dinyatakan  sebarang pelantikan Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

“Umum mengetahui bahawa Latheefa adalah salah seorang dari pemimpin tertinggi PKR.

“Bukankah PKR bahkan Pakatan Harapan sendiri memperjuangkan kebebasan badan penguatkuasa seperti SPRM dari pengaruh politik?

“Tetapi kenapa Latheefa tetap dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ?Mereka lupa apa yang diperjuangkan oleh mereka sendiri?,”soalnya dalam kenyataan hari ini.

Nasarudin Hassan

Nasarudin berkata, dengan pelantikan Latheefa itu jelas memperlihatkan terdapat campurtangan politik dalam badan bebas itu.

“Rule Of Law yang diperjuangkan selama ini pun kian terhakis. Kini perjuangan membebaskan badan penguatkuasa dari campurtangan politik hanyalah sebuah *pertunjukkan “silap mata” di pentas politik.*

*Kepercayaan rakyat terus dikhianati. Sokongan rakyat kepada mereka terus dieksploitasi* untuk melakukan apa sahaja perkara, meskipun bertentangan dengan dasar dan prinsip perjuangan mereka sebelum ini.

“Kini sebahagian rakyat jadi bungkam. Tak terkata apa-apa. Terkejut atau teruja, saya tidak pasti. Tapi soalan yang bakal popular di pagi raya esok ialah : *haa Puas Hati Sokong PH ?* ujarnya sinikal.

Kata Nasruddin lagi segala intipati perjuangan PKR selama ini dilihat sudah dikhianati secara terbuka tanpa rasa bersalah dan rakyat ujarnya lagi, terus terpedaya atas kepercayaan yang diberikan parti itu selama ini.

“Sampai Bila Nak Biar Kan ? Jangan-jangan selepas ini Siti Kassim pula dilantik sebagai Peguam Negara,” sindirnya pula.

Justeru beliau berkata, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus membisu dengan fenomena yang berlaku.

“Detik ini membuatkan ramai teringat pada kelantangan Sdr Rafizi Ramli menentang korupsi, kronisme dan nepotisme. Agaknya *di mana beliau sekarang ?*

“Apakah Datuk  Seri Anwar juga terpaksa membisu dengan fenomena ini ? Atau mungkin segalanya telah berubah selepas berkuasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dipetik berkata turut mempersoalkan pelantikan Latheefa Koya adakah dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

“Perlu ada ketelusan lebih baik dalam pelantikan (jawatan awam),” katanya.

Maria berkata, Latheefa yang merupakan ahli PKR perlu melepaskan semua jawatan dalam parti itu ujarnya. .kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa untuk mengetuai SPRM berkuatkuasa 1 Jun lalu bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya dipendekkan lebih awal berbanding 17 Mei 2020.

PMO dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan peguam dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi kerajaan.

Latheefa dilantik untuk tempoh kontrak 2 tahun.