Malaysia Dateline

PH Negeri Sembilan terima 10 nama calon

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan telah menerima lebih 10 nama untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Pengerusinya Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata semua pihak boleh menghantar nama mereka untuk menjadi calon, namun keputusan akhir akan dibuat Majlis Presiden PH.

Amiinuddin Harun

“Sekarang memang banyak nama yang kita terima, menunjukkan semua mahu jadi calon, kalau dahulu semua tidak mahu jadi calon,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Puteri, pada Rabu.

PRK Dun Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang dikemukakan Adun Rantau Datuk Seri Mohamad Hassan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Februari lepas.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjun.

Terdahulu, Aminuddin yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam ucapannya menegur sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat berhubung program yang melibatkan guru dan ibu bapa seperti mesyuarat PIBG.

“Saya melihat ibu bapa masih tidak berikan satu dokongan kepada sekolah, adakah ini sekolah yang kita hanya harapkan guru-guru bantu untuk anak kita berjaya tanpa penglibatan atau komitmen daripada ibu bapa sendiri?

“Sebagai contoh mesyuarat PIBG satu mesyuarat yang penting, banyak keputusan perlu dibuat seperti yuran, keperluan sekolah dan sebagainya tetapi ibu bapa yang hadir sedikit sangat, saya lihat ada keperluan untuk ibu bapa ini ubah sikap mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Aminuddin turut menyerahkan bantuan awal persekolahan kepada 243 pelajar serta memberi sumbangan sebanyak RM20,000 iaitu RM15,000 kepada PIBG dan RM5,000 untuk kelab guru sekolah tersebut.– BERNAMA