PH optimis buat kejutan walaupun Bernama Radio dakwa BN menang PRU14

PH optimis buat kejutan walaupun Bernama Radio dakwa BN menang PRU14

Pakatan Harapan (PH) optimis mampu membuat kejutan dalam pilihan raya umum ke -14 (PRU14) akan datang walaupun adanya kaji selidik dari Bernama Radio ‘Respons Rakyat’ yang mendakwa BN dijangka menang pada pilihan raya tersebut.

Statistik yang mendakwa BN akan memperolehi 37 peratus sokongan dan PH sebanyak 32 peratus serta 31 peratus adalah tidak pasti, tidak sedikit pun menggusarkan PH.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas program Hi-Tea bersama masyarakat Cina di perkampungan cross street, Permatang Pauh kelmarin.

Menurut Faiz lagi, statistik sebenarnya membuktikan bahawa peratusan undi yang diterima oleh BN kini semakin merosot jika dibandingkan sebelum ini sebanyak 46.7 peratus.

“Penurunan undi tersebut juga memperlihatkan situasi sebenar bahawa kedudukan BN kini tergugat.

“31 peratus undi yang tidak pasti sepertimana yang dinyatakan oleh Bernama Radio tersebut adalah suatu jumlah yang besar mampu memberi kredit kepada PH.

Faiz bersama dengan Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang ketika perasmian pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda AMANAH Dun Permatang Pasir, semalam.

“Keyakinan PH untuk mendapat sokongan majoriti dalam PRU14 kali ini adalah berdasarkan senario politik sedia ada yang amat mengecewakan pengundi,” jelasnya.

Malah kata Faiz lagi, perkembangan semasa membuktikan rakyat semakin tertekan dengan kos sara hidup yang amat membebankan serta gagal diatasi oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN.

Selain itu ujarnya, rakyat terbeban dengan urus tadbir yang lemah, tidak cekap dan salah guna kuasa yang melampau bikinan pimpinan kerajaan kini.

“PH tidak pernah putus asa maupun kecewa dengan mana-mana statistik yang dikeluarkan, apatah lagi angka yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan tersebut.

“Sekiranya ia benar sekalipun, PH masih mempunyai ruang bagi mendapat dokongan rakyat akibat kegagalan Najib dan kerajaan memberi pembelaan yang sewajarnya.

“Kehidupan rakyat yang amat melarat dan tertekan bukan satu isu remeh yang boleh dibiarkan berlarutan tanpa ada apa-apa tindakan drastik bagi mengatasi masalah tersebut,” tegasnya lagi.

Rentetan itu kata Faiz, dengan apa juga cara sekali pun melalui proses undang-undang PH mesti memenangi PRU14 kali ini.

“Menang dan terus menolak Umno-Barisan Nasional (BN) untuk merasai pengalaman sebagai pembangkang buat julung-julung kalinya di peringkat pusat.

“Walaupun BN kini menjadi pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor sejak dua PRU yang lalu, ia belum lagi cukup untuk memberi pembelaan secara total kepada rakyat.

“Yang pasti, kemenangan bukan saja mampu bercambah dengan kekalahan BN di beberapa buah negeri yang telah dikenal pasti, sebaliknya memastikan kuasa di peringkat pusat menjadi milik PH dalam PRU14 nanti,” tambahnya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Lim Kt Siang serta kepimpinan PKR dan DAP Pulau Pinang.

6.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.5