PH optimis menang di Parlimen Parit Buntar

PH optimis menang di Parlimen Parit Buntar

Komitmen yang bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh kesemua komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH) Parlimen Parit Buntar memberi peluang yang lebih luas kepada PH memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Gerak kerja yang telah dilaksanakan tanpa jemu dan letih antara AMANAH dengan PKR maupun Bersatu dan DAP membuktikan hasrat yang menggunung untuk memastikan calon PH mampu menang.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha PH Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak.

Jelas beliau lagi, setakat ini kerjasama yang telah dilaksanakan adalah mengedarkan risalah penerangan mengenai pelbagai pembaharuan yang mampu dilakukan sekiranya PH menjadi sebuah kerajaan yang menerajui kepimpinan.

“Selain itu kita juga turun padang menemui semua golongan masyarakat yang memerlukan khususnya penduduk miskin, daif, warga emas dan sebagainya.

Hairul Nizam Ishak

“Sumbangan turut diberikan tanpa mengambil kira keturunan, agama dan fahaman politik kepada mereka yang memerlukan.

“Mendekati masyarakat termasuklah warga emas dan orang kurang upaya menjadi rutin bagi penduduk dalam kawasan Parlimen ini,” ujarnya yang juga merupakan Penolong Setiausaha AMANAH kawasan Parit Buntar.

Kata Hairul Nizam lagi, makan bersama penduduk telah menjadi satu kebiasaan yang telah dipraktikkan sekian lama.

“Kita bukan hanya singgah di kedai kopi atau warung tepi jalan ketika hampir pilihan raya, sebetulnya ia telah pun lama diamalkan.

“Di samping itu, anak yatim serta mereka yang tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa turut diberi kepedulian khususnya untuk menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan yang sedang mereka hadapi.

Mujahid menyampaikan sumbangan dalam program Kembara Harapan di Dun Titi Serong, Parit Buntar.

“Ziarah dari rumah ke rumah untuk mendekati penduduk kerap diadakan termasuklah santai mesra dengan mereka,” tegasnya lagi.

Malah tambahnya lagi, semakan daftar pemilih juga diadakan senantiasa termasuklah memberi semangat, kesedaran dan penerangan kepada generasi muda untuk mengundi dalam PRU14 akan datang.

Beliau juga berkata, AMANAH Parlimen Parit Buntar telah pun bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 yang akan diumumkan oleh Najib sedikit masa lagi.

“Dengan kerjasama yang erat antara semua komponen dalam PH di Parlimen Parit Buntar, kita optimis ia bukan satu perkara yang mudah untuk Umno-Barisan Nasional (BN) maupun Pas memenangi kerusi tersebut.

“AMANAH mempunyai kekuatan tersendiri dengan disokong oleh wakil rakyat sedia ada bagi Dun Kuala Kurau yang dimenangi oleh PKR dalam PRU13 yang lalu.

Sumbangan turut menjadi rutin kepada mereka yang memerlukan saban hari untuk semua golongan masyarakat.

“Sementara itu bagi kerusi Dun Titi Serong yang telah dimenangi oleh Pas dalam PRU13 yang lalu dengan majoriti 1794 undi bukan suatu perkara yang sukar untuk dirampas oleh PH,” katanya.

Tambahnya lagi, kini dengan keputusan Pas untuk tidak bersama dengan PH sepertimana mereka mampu raih kemenangan semasa berada bersama Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu, ia membuka peluang yang lebih luas kepada PH untuk menawan kerusi tersebut.

6.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 4.0
CATEGORIES
TAGS