PH optimis tawan kerusi Parlimen Taiping, tiga kerusi Dun

PH optimis tawan kerusi Parlimen Taiping, tiga kerusi Dun

Parti AMANAH Negara (AMANAH) kawasan Taiping bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) optimis kemenangan akan mampu diraih bagi Parlimen Taiping dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Menurut Timbalan Ketua AMANAH kawasan Taiping, Prof Ir Dr Muhd Fadhil Nuruddin (gambar atas), berdasarkan gerak kerja turun padang sehingga ke akar umbi, didapati majoriti pengundi sudah hilang keyakinan kepada kerajaan negeri Perak.

Malah mereka mengharapkan agar PH mampu untuk memenangi kerusi Parlimen dan juga kerusi Dun Kamunting, Pokok Assam dan Aulong pada PRU14 yang akan datang.

“AMANAH kawasan Taiping melaksanakan pelbagai program turun padang membabitkan semua golongan masyarakat.

“Program dan aktiviti yang dianjurkan turut merangkumi masyarakat Melayu, Cina dan juga India.

“Selain program menyantuni masyarakat, kita turut memberi perhatian kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, anak yatim, warga emas dan seumpamanya,” jelasnya lagi.

Perasmian pejabat baru AMANAH kawasan Taiping turut disempurnakan oleh Ustaz Ahmad Awang kelmarin.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Integrasi Nasional AMANAH Perak turut berkata, penyalahgunaan kuasa, salah urus dan tadbir kerajaan negeri Perak banyak didedahkan kepada pengundi.

“Di samping isu tempatan yang banyak belum dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri, kos sara hidup yang semakin meningkat naik membuatkan ramai pengundi yang ditemui semakin muak dengan kerenah kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN).

AMANAH kawasan Taiping juga menyantuni keluarga yang memerlukan sokongan dan bantuan di Kamunting baru-baru ini.

“Mereka bukan saja telah bertekad untuk tidak menyokong kerajaan negeri sedia ada, sebaliknya amat mengharapkan cukai GST yang sedang dipraktikkan dapat dihapuskan secepat mungkin.

“Harga barang yang mahal dan meningkat naik amat membebankan khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu ujarnya, pelbagai skandal, penyelewengan, rasuah dan amalan korup yang sedang diperkatakan turut mempengaruhi minda dan sokongan yang mampu diraih.

“Selagi Najib, Umno-BN tidak menyelesaikan isu nasional seperti 1MDB, ia akan memberi kredit yang besar kepada PH.

Turut diedarkan risalah penerangan kepada pengunjung Pasar Malam Kamunting.

“Isu penyelewengan membabitkan tanah Felda, aset negara yang dijual kepada negara China serta hutang negara yang semakin meningkat dan membimbangkan turut memberi tamparan kepada kepimpinan Umno-BN.

“Pelbagai isu lokal juga mempengaruhi sokongan yang boleh membawa kejutan kepada BN apabila PH mampu mendapat sokongan sehingga mengalahkan Umno-BN tidak lama lagi,” tambahnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, komitmen yang bersungguh-sungguh antara komponen PH di Taiping akan memberi tamparan hebat dan kejutan yang tidak dijangka oleh Umno-BN.

Dalam PRU13 yang lalu, kerusi Taiping telah berjaya dimenangi oleh DAP dengan mengalahkan calon BN dengan kelebihan 11,745 undi.

Manakala bagi kerusi Dun Kamunting yang akan ditandingi oleh AMANAH dalam PRU14 akan datang, keputusan PRU13 yang lalu mencatatkan kemenangan BN hanyalah dengan majoriti sebanyak 887 undi setelah menewaskan Pas.

Sementara itu bagi Dun Pokok Assam pula DAP berjaya memenangi kerusi tersebut setelah mengalahkan BN dan juga calon Bebas dengan majoriti sebanyak 7925 undi.

Kerusi Dun Aulong pula, DAP berjaya mengalahkan BN dan calon Bebas dengan majoriti 7330 undi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES