Malaysia Dateline

PH P Pinang bersolidariti bersama Lim Guan Eng

Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini menyatakan solidariti bersama bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerima suapan berhubung projek terowong bawah laut di Negeri itu.

Dalam satu kenyataan bersama, PH berpendirian tetap bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak bersalah dalam kes tersebut.

Katanya, pertuduhan tersebut jelas merupakan satu bentuk pendakwaan terpilih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berniat untuk memburukkan nama Lim Guan Eng serta parti DAP dan Pakatan Harapan.

“Tidak dapat dinafikan susulan keputusan Kes SRC melibatkan Najib Razak yang dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, terdapat pula tekanan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Malah, satu memorandum yang dihantar Pemuda Umno ke pejabat Perdana Menteri jelas menyatakan bahawa mereka mahukan ‘kes terowong’ dibuka semula walaupun kes yang pernah disiasat dahulu pernah ditutup SPRM atas sebab ketiadaan merit,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang terdiri dari AMANAH, Dr Roslan Ahmad; DAP Chow Kon Yeow; dan PKR Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sementara itu, PH menegaskan apa yang berlaku ketika ini meletakkan bekas Menteri Kewangan itu sebagai mangsa desakan sebilangan pemimpin Umno yang ingin mengimbangi kes Najib Razak

Katanya, ia juga merupakan cubaan untuk melunturkan semangat juang para ahli dan penyokong Pakatan Harapan.

“Walaubagaimanapun, kami percaya bahawa rakyat akan menilai pertuduhan ini sebagai satu taktik kotor yang terdesak oleh PN untuk kekal berkuasa,” katanya lagi.