PH Pahang mahu MPKK negeri dikaji semula

PH Pahang mahu MPKK negeri dikaji semula

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang akan mewujudkan sebuah jawatankuasa petugas bagi mengkaji semula kedudukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dilihat kurang memberi kerjasama kepada pimpinan Pakatan Harapan di negeri ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Fuziah Salleh berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat MPN semalam bagi memberi impak yang lebih terhadap penyampaian kerajaan pusat di negeri ini.

“Kita dapati MPKK di Pahang yang dilantik pembangkang Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan perkongsian saksama (equitable sharing).

“Kita banyak terima laporan tentang perkara ini dari peringkat akar umbi dan paling ketara ia berlaku semasa Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands baru-baru ini apabila Pengerusi MPKK enggan memberikan kunci Dewan Veteran ATM untuk digunakan oleh kita.

“Jadi ini melambangkan demokrasi tidak matang dan jelas menunjukkan pimpinan kerajaan negeri belum lagi mampu untuk memikul amanah yang melambangkan demokrasi matang. Jadi kita akan minta kaji semula (MPKK) dan akan ada usul khas daripada kami,” katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Kuantan semalam.

Menurutnya dapatan kajian jawatankuasa bertindak itu akan diserah kepada Majlis Presiden PKR pada bulan depan untuk tindakan lanjut termasuk mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah itu.

Fuziah berkata sebelum ini beliau sendiri telah berjumpa dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Besar Pahang bagi membincangkan komposisi pelantikan MPKK dilakukan mengikut kawasan yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bagaimanapun katanya, lantikan tersebut telah diadakan senyap-senyap diikuti majlis angkat sumpah bulan lepas.

— BERNAMA