Malaysia Dateline

‘PH, parti pembangkang boleh bersatu jika semua jelas siapa musuh bersama’

Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang boleh bersatu dalam blok oposisi untuk menyaingi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, cabarannya ialah bagaimana PH boleh berlapang dada terhadap parti politik yang pernah bertindak menikam belakang sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda berpendapat PH sememangnya memerlukan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang yang lain untuk memenangi PRU-15.

Menurutnya, pengalaman menempuh tiga siri pilihan raya negeri iaitu Sabah, Melaka dan Johor telah menunjukkan dengan jelas bahawa undi yang menolak BN telah berpecah dan berselerak.

“Cuma persoalannya, sejauh mana PH boleh menerima parti yang pernah mengkhianati kita seperti PPBM yang menjadi sebahagian daripada PN (Perikatan Nasional).

“Sesetengah penyokong PH tidak bersedia untuk kembali bekerjasama dengan mereka kerana kerja khianat adalah terlalu keji dan menjijikkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, jalan terbaik bagi PH dalam tempoh terdekat ialah membentuk gabungan besar termasuk dengan PN untuk mengalahkan BN pada PRU-15.

“Tanpa gabungan yang besar (termasuk dengan PN), saya tidak nampak satu peluang yang sangat besar (untuk menang) kecuali kalau berlaku dinamika yang besar pada saat-saat akhir nanti.

“Saya tidak begitu jelas (dengan peluang PH menang PRU-15) jika momentum PH yang ada sekarang diteruskan,” tegasnya.

Menurut Dr Yusri lagi, BN tidak begitu mudah untuk mendominasi dalam PRU-15 jika PH mencapai titik temu dengan PN dengan sekurang-kurangnya mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Hasbie yang juga bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan berkata, gabungan baharu PH dengan parti lain itu perlu jelas siapa musuh bersama.

Beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa negara berada dalam situasi parah sekiranya diterajui individu yang terbukti bersalah terlibat dalam pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

“PH dan parti-parti pembangkang boleh bersatu jika kita semua jelas musuh utama yang menjadi musuh bersama kita.

“Jika kita beranggapan bahawa Najib sudah tidak lagi berpeluang untuk jadi PM atau sudah sukar untuk kembali di tampuk kuasa, saya fikir kita silap.

“Kerajaan yang berkuasa mutlak apatah lagi dipimpin oleh tokoh yang terbukti pecah amanah amatlah berbahaya kepada negara,” tegas Hasbie lagi.

Baca Berpecah dan tiada kuasa penyatu, PH perlu buat gabungan besar termasuk dengan PN

Baca Wanita bunuh suami ketika masih di bawah umur terlepas hukuman gantung