Malaysia Dateline

PH Perak yakin lebih sejahtera di bawah pengerusi baharu Dr Mujahid Yusof

Pakatan Harapan (PH) Perak memberi komitmen untuk membawa masyarakat keluar dari pandemik dan sekaligus membentuk kehidupan bernegara yang lebih sejahtera dan demokratik.

Perkara ini dicapai dalam mesyuarat pertama mereka semalam di bawah pengerusinya yang baharu dilantik, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mesyuarat itu berlangsung secara maya ketika negara sedang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Menurut Dr Muhaimin Sulam, Koordinator Komunikasi & Publisiti Pakatan Harapan Perak, mesyuarat semalam berlangsung dengan semangat dan ceria.

Setiap parti komponen PH diwakili empat kepimpinan mereka. AMANAH diwakili Datuk Asmuni Awi, Dr. Muhaimin Sulam, Dr. Fakhruldin Mohd Hashim dan Dr. Ahmad Termizi Ramli.

DAP pula diwakili oleh Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Kho Ham, Sivakumar dan Wong Kah Woh manakala PKR pula diwakili Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, MA Tinagaran, Tan Kar Hing dan Baldip Singh.

Sebagai pengerusi PH Perak yang baharu, Dr. Mujahid Yusuf yakin kerjasama erat di kalangan semua pimpinan parti komponen mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap keupayaan PH Perak memimpin negeri, kata Muhaimin.

Dalam mesyuarat tersebut, semua pengerusi-pengerusi parti komponen di peringkat negeri telah dilantik menjadi Timbalan-timbalan Pengerusi Majlis PH Perak.

Di samping itu, struktur baharu majlis telah diputuskan membabitkan jawatan Setiausaha, Bendahari, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.

Sekretariat Majlis, Biro Dasar dan Politik, dan Biro Komunikasi dan Publisiti juga telah diwujudkan bagi memperkukuhkan operasi PH Perak, kata beliau.