PH Perlis gesa kotakan janji, siapkan segera projek terbengkalai

PH Perlis gesa kotakan janji, siapkan segera projek terbengkalai

Pakatan Harapan (PH) Negeri Perlis terus komited dan serius memperjuangkan nasib rakyat atas sikap tidak bersungguh kerajaan pimpinan Umno-BN negeri itu mahu mengotakan janji-janji pilihan raya umumnya yang lalu.

Hanya papan kenyataan masih terpampang sebahagian lagi telah tertanggal.

Atas komitmen dan kesungguhan tersebut, PH Negeri Perlis yang disertai bersama oleh Ketua Sekretariat PH Perlis, Syed Araniri Al Idrus, Pengarah Mobilisasi PH Perlis, Leftenan Kol (B) Azhar Omar, Ketua Wanita AMANAH Perlis, Che Mazlina Che Yob, Poziyah Hamzah, Ketua Wanita PKR Perlis dan Baridah Che Nayan, Ketua Srikandi Bersatu Perlis, telah turun padang ke lokasi projek Sekolah Sukan Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar yang terbengkalai kelmarin.

 

Syed Araniri Al Idrus

Projek yang menelan kos RM140 juta tersebut telah menjadi satu lagi projek gajah putih yang akan merugikan wang rakyat.

Dalam tinjauan yang dibuat didapati masih ada pengawal keselamatan mengawal di sebuah pondok kayu yang usang lagi uzur. Manakala beberapa blok bangunan sekolah separuh siap dan terbengkalai.

Poziyah Hamzah

“Sepatutnya kerajaan negeri Perlis mendesak Kementerian Pelajaran supaya segera menyiapkan projek yang terbengkalai begitu lama.

“Sekiranya sekolah ini dapat disiapkan dengan segera ia dapat memberi peluang kepada pelajar tempatan untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam meningkatkan mutu sukan negeri Perlis.

“Kegagalan menyiapkan projek ini amat mengecewakan rakyat negeri Perlis, khususnya ibu bapa dan waris yang telah menaruh harapan begitu tinggi agar sekolah ini dapat disiapkan seperti yang dimumkan oleh Menteri Besar sejak pilihan raya umum yang lalu,” kata Syed Araniri.

Kuarters kediaman sekolah sukan yang terbengkalai.

Sementara itu, Ketua Wanita AMANAH Perlis, Che Mazlina Che Yob berkata, projek yang siap separuh jalan ini hanya mengkayakan kontraktor utama yang juga kroni Umno.

“Beberapa blok pembinaan rumah kediaman guru juga terhenti dan terbengkalai.

“Begitu juga dengan bangunan empat tingkat yang separuh siap tanpa bumbung serta meninggalkan besi yang berkarat.

“Besi cerucuk dan binaan separuh siap dan terbengkalai amat buruk dan menyakitkan mata yang memandang serta perlu segera diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Poziyah Hamzah yang juga merupakan Ketua Wanita PKR Perlis turut mendesak kerajaan agar segera menyiapkan projek ini sebelum membuat janji baru bagi rakyat negeri Perlis.

“Pembinaan sekolah sukan ini amat penting dan menjadi mercu tanda kejayaan bagi negeri Perlis sekiranya ia telah dapat disiapkan seperti yang direncanakan.

“Selain dapat melahirkan atlet pelbagai bidang sukan dalam negara, ia juga dapat menjimatkan kos khususnya dalam meningkatkan mutu sukan negara dikalangan pelajar sebelah utara.

“Kegagalan projek mega ini merupakan kegagalan besar bukan saja kerajaan pusat, tetapi juga kementerian pelajaran dan kerajaan negeri Perlis yang diterajui oleh Umno dan BN,” jelasnya.

Baridah Che Nayan yang merupakan Ketua Srikandi Bersatu Negeri Perlis turut menggesa kerajaan negeri supaya mengotakan janji untuk menyiapkan sekolah sukan tersebut dengan segera.

“Jika kerajaan tidak mampu untuk menyiapkan sekolah sukan ini, rakyat negeri Perlis harus menilai dengan bijak keupayaan kerajaan Umno-BN yang sedang memerintah ketika ini.

“Jelas terpampang di hadapan mata, betapa kerajaan gagal untuk menunaikan janji-janji pilihan raya mereka kepada rakyat negeri Perlis.

“Oleh kerana itu, sepatutnya sokongan tidak lagi boleh diberikan kepada sebuah kerajaan yang hanya pandai membuat janji, membangunkan bangunan separuh jalan, akhirnya dibiarkan tanpa mampu untuk mengotakan janji mereka kepada rakyat,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, lebih 35 ribu pengundi dalam kawasan Parlimen Padang Besar mesti bangkit dan tidak lagi memberi apa jua mandat kepada Umno-BN untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri maupun kerajaan pusat menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang.

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.0
CATEGORIES
TAGS