PH perlu 2 kali PRU untuk ke Putrajaya, Kadir harap kenyataan Nurul Izzah sekadar lepas geram

Oleh NASUHA RAHMAN

PH perlu 2 kali PRU untuk ke Putrajaya, Kadir harap kenyataan Nurul Izzah sekadar lepas geram. Ramalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurang lima tahun atau dua pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) lagi untuk kembali menguasai Putrajaya.

Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden PKR menjangkakan PH juga diramal bakal menghadapi laluan sukar dan mungkin kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah yang membuat ramalan itu hampir serentak dengan kemenangan tanpa bertanding bapanya, Anwar Ibrahim, sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat satu penggal lagi.

“Maksud yang tersirat ialah harapan Anwar menjadi Perdana Menteri melalui kemenangan PH adalah tipis.

“Natijahnya, dia hanya boleh bercita-cita memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri melalui kerajaan campuran dengan parti-parti di luar PH.

PH perlu 2 kali PRU untuk ke Putrajaya, Kadir harap kenyataan Nurul Izzah sekadar lepas geram
Datuk A Kadir Jasin

“Kalau tunggu dua penggal lagi, Anwar akan berusia 86 tahun. Kalau dia masih hendak jadi Perdana Menteri juga dan umum boleh menerimanya, umur 86 tahun masih “muda” berbanding Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri pusingan kedua pada usia 93 tahun,” kata beliau.

Kadir juga lebih yakin terhadap kemampuan PH daripada apa yang disuarakan oleh Nurul Izzah dengan syarat parti-parti dalam gabungan itu berani melakukan perubahan kepemimpinan dengan memberi peluang kepada pemimpin muda seperti yang dilakukan oleh DAP baru-baru ini.

“Saya melihat watak-watak seperti Nurul Izzah, Saifuddin Nasution Ismail, Rafizi Ramli dan banyak lagi sebagai mampu memulihkan sokongan kepada PKR khususnya dan PH amnya,” katanya lagi.

Beliau berharap ramalan gelap Nurul Izzah itu tidak lebih daripada menyatakan kehampaan dan meluah apa yang terbuka di hati.

“Saya rasa saya mengerti sentimen Nurul Izzah berkenaan pengkhianat terhadap PH kerana saya tahu peranannya di sebalik tabir menjayakan gagasan pembangkang pada saat-saat genting menjelang PRU ke-14 lalu.

“Adalah amat malang bagi Malaysia dan kita semua jika ramalan suram Nurul Izzah itu bermakna kleptokrasi serta hegemoni United Malay National Organisation (Umno) kembali bermaharajalela.

“Seandainya itu terjadi, jangan terkejut jika Malaysia menyusuri jalan beranjau yang kini sedang dilalui Sri Lanka,” ujar beliau.

Baca juga: Saya bersara dari politik, tolak jadi mentor