PH perlu bingkas tebus kekalahan pusingan pertama perang persepsi

PH perlu bingkas tebus kekalahan pusingan pertama perang persepsi

Menjelang PRU15, setiap gabungan parti, Pakatan Harapan (PH) dan juga BN-Pas memusatkan usaha untuk menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu.

Dalam PRU14, 17 bulan lalu, dianggarkan hanya satu daripada empat orang di Semenanjung, atau sekitar 26 peratus pengundi Melayu mengundi PH. Manakala 29 peratus menyokong Pas, dan selebihnya 45 peratus memilih BN.

Dalam keadaan itu, PH masih dapat membentuk kerajaan. Pertama, difaktorkan oleh sokongan besar pengundi bukan Melayu. Kedua, pertandingan tiga penjuru, antara BN, PH dan Pas. Di atas kertas, jika pola pengundian Mei 2018 itu kekal, BN-Pas yang kini bekerjasama mungkin dapat mengambil alih kuasa.

Impian BN-Pas itu menggunung tinggi. Sentimen perkauman dan ketaksuban sempit agama dimanipulasi sepenuhnya. Kerajaan PH ditohmah mengabaikan kepentingan Melayu. Islam pula didakwa terancam dan survival Melayu tergugat di bawah PH.

Selari dengan momokan sekian lama Pas-Umno, kerajaan baharu digambarkan telah dikuasai DAP. Dasar yang lebih terbuka dan demokratik dipergunakan sepenuhnya untuk bebas menyebarkan fitnah dan tanggapan palsu memburukkan kerajaan.

Masa sama, sesetengah tindakan kerajaan, seperti perlantikan jawatan strategik yang diserahkan kepada bukan Muslim, misalnya menteri kewangan, peguam negara, ketua hakim negara (bekas), dipersepsikan sebagai menggadai kepentingan Islam. Malah Pusat Islam pernah digambarkan bakal dimansuh, walhal sebenarnya makin diperkukuh dan peruntukan untuk aktiviti Islam ditambah.

Sekali pandang, gerak kerja Pas-Umno untuk merebut kuasa itu, dibantu NGO Muslim di bawah pengaruh mereka, seolah-olah mendapat sambutan. Kempen menambahkan lagi defisit keyakinan rakyat terhadap PH, dengan kempen “kerajaan sepenggal” semakin giat.

Dasar yang lebih terbuka dan demokratik PH dipergunakan sepenuhnya BN-Pas untuk bebas menyebarkan fitnah dan tanggapan palsu memburukkan kerajaan.

Selepas Himpunan Penyatuan Ummah — sebenarnya pakatan dua parti pembangkang Melayu — menerima kehadiran ramai di PWTC, platform yang terbentang luas adalah Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, minggu lalu.

Memang diakui kebolehan Pas-Umno untuk menggembleng khalayak seramai mungkin menghadiri rapat umum mereka. Sebelum ini dibuktikan melalui himpunan membantah ICERD dan Statut Rom, juga demonstrasi membantah penghinaan terhadap Rasulullah.

Saya tidak dapat menelah hasrat politik penganjur KMM tetapi gandingan Umno-Pas cuba memanfaatkan program itu demi kepentingan mereka. Walaupun kemuncak majlis adalah amanat Dr Mahathir Mohamad, namun mesej yang terserlah untuk memecahkan kesatuan PH.

Empat komponen parti PH mahu direnggangkan dan dicucuk jarum halus untuk saling syak wasangka. Sementalahan pula berlaku polemik tidak sihat tentang proses peralihan kuasa daripada Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Justeru, tidak pelik apabila gabungan NGO Gerakan Pembela Ummah yang mendukung Pas-Umno meluahkan rasa tidak puas hati dengan ucapan Mahathir. Hasrat besar mereka tidak kesampaian. Malah mereka mengucapkan “takziah” kepada pihak penganjur ekoran ucaptama Mahathir itu.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dasuki dalam kenyataan di laman Facebooknya merakamkan: “Menginsafi kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan bahawa beliau sudah kesuntukan masa atas faktor usia, Pemuda Umno dengan ini menyarankan beliau mengambil langkah drastik dan segera untuk memulihkan maruah Melayu dengan menyingkirkan DAP dan PKR.”

Sedangkan tiada penegasan atau kecaman Mahathir terhadap DAP atau elit Cina, sebaliknya beliau mengulangi pesanan agar orang Melayu sendiri perlu berubah dan meninggalkan tabiat negatif.

Dari Kota Bharu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor berkata Kongres Maruah Melayu tidak akan memberikan sebarang makna jika Dr Mahathir tidak mengambil tindakan drastik menyingkirkan pemimpin DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) daripada Kabinet.

Nampaknya pembangkang tidak dapat menyembunyikan hasrat sebenar mereka untuk kembali segera berkuasa “melalui pintu belakang” dengan mengeksploitasi sentimen perkauman. PH mahu dipecahkan sepertimana mereka berjaya melaga-lagakan Pakatan Rakyat (PR) dahulu.

PH mahu dipecahkan oleh BN-Pas sepertimana mereka berjaya melaga-lagakan Pakatan Rakyat (PR) dahulu.

Mahathir juga tidak menunggu lama menolak pelawaan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk membentuk kerajaan baru bersama Umno dan Pas. Beliau berkata, sebagai negara berbilang kaum kerajaan yang dibentuk harus merangkumi masyarakat majmuk dan tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu semata-mata.

Babak merebut pengaruh Melayu tidak berhenti setakat itu. Bakal pemenangnya masih samar. Tempoh tiga tahun terakhir ini cukup mempengaruhi natijah pertarungan sengit ini. Masih banyak perlu dilakukan PH, pada masa sama “kekalahannya” dalam perang persepsi pusingan awal ini harus segera ditebus.

Cabaran tambah perit buat PH apabila kaji selidik terbaru mendedahkan tahap populariti gabungan parti pemerintah ini berada pada tahap terendah sejak menang PRU14. Markah yang diperolehinya dalam zon merah, iaitu 35 peratus atau gagal jika diukur gred peperiksaan.

Malaysiakini yang melaporkan kajian Merdeia Centre itu turut memetik kenyataan sumber dalaman parti: “PH kelihatan tidak berjaya membuat apa-apa perubahan biarpun pernah berjanji untuk membaiki komunikasi antara parti komponen dan menambah baik usaha menerangkan dasar kepada rakyat.”